Ahad, Jun 02, 2019

WHY NATION FAIL-Perspektif Al Kahfi

Image result for ‘Why Nations Fail’- Perspektif Al-Kahfi

Kegagalan menyedari dan mengakui kehambaan manusia di hadapan kekuatan Allah sebagai Tuhan dan Raja segala raja adalah punca utama mengapa sesebuah negara yang maju dan kaya boleh jatuh dan runtuh.

Daron Acemoglu & James A. Robinson menulis sebuah buku tebal untuk mengupas mengapa sebenarnya sebuah negara boleh maju dan membangun di kala sebuah negara yang lain pula mundur dan runtuh. Buku berjudul ‘Why Nations Fail’ karangan mereka menarik perhatian ramai kerana ia mengupas salah satu aspek dalam persoalan mengapa sebuah negara boleh mundur dan runtuh, iaitu aspek institusi politik dan ekonomi sesebuah negara. 


Izinkan saya berkongsi sebuah lagi aspek yang mungkin hilang daripada pandangan kebanyakan pengkaji politik antarabangsa iaitu aspek kehambaan dan keTuhanan dalam sesebuah negara. Aspek ini dinyatakan secara ‘explicit’ di dalam surah Al-Kahfi yang saban minggu dibaca oleh umat Islam. Bagi saya aspek ini pada hakikatnya merupakan aspek tertinggi dan terutama yang seharusnya dikupas dalam menjawab persoalan ‘why nations fail’ kerana hakikat kekuasaan dan kerajaan ialah seperti yang diajarkan oleh Allah dalam ayat 26 surah Ali-Imran;
Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (26)
Sumbernya adalah Allah dan penentunya adalah Allah ‘Azza wa Jalla.

Di dalam kisah dua lelaki di sebuah kebun yang diceritakan dalam ayat 32 – 44 surah Al-Kahfi terdapat petunjuk yang besar mengenai keutamaan aspek kehambaan dan keTuhanan dalam persoalan kuasa dan kekuatan. Andaikan dua orang lelaki tersebut sebagai negara-negara dunia; yang kaya sebagai kuasa besar dunia yang dikurniakan limpahan kemewahan ekonomi dan kemajuan manakala yang lelaki yang tidak kaya itu sebagai sebuah negara yang tertegak atas asas keimanan dan perhambaan yang tinggi kepada Allah s.w.t, meskipun tidak semewah dan semaju negara kaya (secara materialnya).

Ketika berbahas tentang soal ekonomi negara, negara kaya (lelaki kaya) mengatakan bahawa kemewahan ekonomi dan kemajuan negaranya tidak akan putus malah akan semakin berganda, menurut kiraan dan jangkaannya berdasarkan betapa tingginya kadar pendapatan dalam negara yang dimilikinya. Malah negara ini juga mendabik dada bahawa tamadun serta kekuasaannya tidak akan terpadam kerana konsep hari kiamat itu hanyalah ilusi dan teori konspirasi semata.
Nilai material yang dikecapi negara ini, segalanya adalah kerana kebijakan dan kehebatan mereka dalam urus tadbir dan susun atur ekonomi, semata-mata.

Kesemua ini dibidas semula oleh negara yang tertegak atas iman dengan membawa hujah yang barangkali kelihatan kerdil dan ‘humble’ di sisi sebuah negara maju dan canggih iaitulah hujah kehambaan manusia dan keTuhanan Allah s.w.t. Perihal kehinaan manusia dan ke-Esaan Allah sebagai kuasa tunggal di dalam alam ditekan-tekan di dalam kenyataan negara beriman ini kepada negara yang kaya.

Negara beriman ini menyimpulkan mesejnya kepada negara yang kaya di dalam satu ungkapan yang tinggi harganya:
“mengapa tidak engkau berkata ‘Ma Shaa Allah’ (segala kehendak milik Allah) serta ‘La Quwwata Illa BilLah’ (tiada kekuatan selain Allah)?”.
Ungkapan ini adalah formula penting yang cuba diajar kepada negara kaya; bahawasanya kegagalan menyedari dan mengakui kehambaan manusia di hadapan kekuatan Allah sebagai Tuhan dan Raja segala raja adalah punca utama mengapa sesebuah negara yang maju dan kaya boleh jatuh dan runtuh.

Kisah ini berakhir dengan ketepatan mesej yang disampaikan oleh negara beriman. Negara yang kaya dan mewah ekonominya tersebut runtuh dan hancur kekayaannya satu persatu dengan izin Allah. Terkuburlah sebuah kuasa besar yang pernah mengecapi ketinggian ekonomi dan kemuncak kuasa di dunia. 

Hakikat mengenai hal ini sebenarnya sudahpun diterjemahkan ke dalam realiti. Sejarah menjadi saksi bahawa teori ulung yang terakam di dalam surah Al-Kahfi mengenai perihal ‘power & prosperity’ sesebuah negara ini bukan sekadar teori lagi. Ia sudahpun terbukti benar melalui sirah Rasul s.a.w. Negara Islam Madinah yang Baginda s.a.w asaskan di atas tiang aqidah tauhid, tiang kehambaan, dan tiang keimanan kepada Allah ‘Azza wa Jalla telahpun cuba menyampaikan mesej yang sama yang terdapat di dalam surah Al-Kahfi kepada pemerintah-pemerintah negara besar di zaman Baginda.
Kerajaan Rom yang gagah misalnya, gagal menerima dan tunduk kepada hakikat penting akan punca kejatuhan sebuah negara lalu ianya hancur dan runtuh ditelan sejarah. Utusan Baginda s.a.w sudahpun cuba mengajar hakikat penting ini namun kesombongan kerajaan Rom untuk menerima hakikat kehambaan manusia di hadapan kuasa Allah, telah memakan diri mereka.

Di dalam kerancakan manusia hari ini berbicara tentang ‘good governance’ (urus tadbir yang baik) sebagai kunci kepada kemakmuran dan kemajuan negara, nampaknya perkara yang zahir dan boleh diukur (material) seringkali menjadi kayu ukur dan aras penanda. Manusia terabai dalam melihat aspek yang lebih penting dan nilai yang lebih tinggi iaitu aspek ‘self-awareness’ pemimpin dan rakyat sebagai hamba di hadapan kekuasaan Allah s.w.t, Tuhan mereka semua.
Perkara ini tidak akan lahir melainkan terdapat penumpuan yang besar diberikan dalam pembinaan tasawwur, aqidah, dan keimanan yang utuh dalam diri pimpinan dan masyarakat. Hal ini dibahaskan panjang lebar oleh Dr. Ahmet Davutoglu di dalam tulisannya ‘Alternative Paradigm’, di mana beliau berusaha menerangkan secara mantiknya hubung kait di antara pengiktirafan keluasan wilayah kuasa Allah s.w.t dan kekerdilan wilayah kuasa manusia sebagai hamba dengan politik di dalam negara dan dunia.

Barangkali sudah tiba masanya pemimpin negara kita membuka mata dan hati dengan lebih luas ketika membaca ayat-ayat emas daripada surah Al-Kahfi yang saya sebutkan. Kita sebagai umat Islam – umat wahyu dan sunnah – telahpun memiliki bekal dan formula kepada pelbagai persoalan politik dunia yang sedang menjadi kajian dan kerunsingan. 

Lalu mengapa kita masih tidak mahu berpegang dan menghargai formula-formula ini?

Adakah kita menanti tibanya sunnah orang terdahulu (ditimpa azab dan bala) sebelum kita terkial-kial ingin menjadi sedar dan insaf?
Syed Ahmad Israa’
CEO IRIS Institute

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ADUKAN ISU DAN MASALAH ANDA