Isnin, Jun 01, 2009

KENAPA BUAT AMALAN YANG BELUM TENTU DITERIMA ALLAH SWT?

Secara umumnya boleh dikatakan hampir keseluruhan masjid atau surau perhentian di lebuhraya terdapat sebuah buku kecil yang dinamakan sebagai “Majmuk syarif” sama ada ianya dibeli sendiri oleh pihak pengurusan masjid ataupun ianya diwakafkan oleh individu-individu tertentu kepada pihak masjid. Buku ini tersebar dan mudah untuk diperolehi kerana dimana-mana sahaja terdapat mereka yang menjualnya.

Buku yang tidak mempunyai nama pengarang ini menghimpunkan di dalamnya sebahagian surah-surah daripada al-Quran serta fadhilat-fadhilatnya, doa-doa dan zikir-zikir yang dijadikan amalan oleh sebahagian masyarakat. Dukacitanya hampir kesemua doa, zikir dan fadhilat-fadhlatnya yang terkandung di dalam buku ini tidak sahih dari Nabi s.a.w. bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan ianya hanya rekaan manusia yang tidak mempunyai asal di dalam agama.

Hukum berdusta menggunakan Nama baginda s.a.w.

Berdusta ke atas nama Rasulullah s.a.w. merupakan dosa yang besar dan diberi ancaman kepada si pelakunya dengan neraka. Hadis-hadis di dalam persoalan ini telah disebut oleh ulamak hadis sebagai hadis yang mutawatir.
Abu Hurairah r.a berkata . Nabi s.a.w. bersabda

مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ.
Sesiapa yang berdusta ke atas namaku dengan sengaja maka siap tempat duduknya di dalam neraka.(al-Bukhari dan Muslim)

Daripada al-Mughirah dia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ

Sesungguhnya berdusta ke atas namaku bukanlah seperti berdusta kepada seseorang, sesiapa yang berdusta ke atas namaku dengan sengaja maka siaplah tempat duduknya di dalam neraka.(al-Bukhari dan Muslim)

Berbohong ke atas Rasulullah s.a.w. ialah menyandarkan sesuatu perkara kepada Rasulullah sedangkan baginda tidak menyebutnya. Imam al-Nawawi menyebut berdusta itu ialah memberitahu tentang sesuatu yang bercanggah dengan perkara tersebut sama ada sengaja atau kerana kelalaian.

Hadis-hadis ini memberi amaran kepada sesiapa sahaja yang mereka-reka dan membuat hadis palsu lalu disandarkan kepada Rasulullah s.a.w. sedang Rasulullah tidak menyatakannya maka tempatnya adalah di neraka. Maka haram dan berdosa besar hukumnya kepada mereka yang melakukan perkara ini.

Salafi:
Dizaman Umar bin Abd Aziz, sekiranya ada penceramah atau pemidato yang membaca hadis-hadis palsu bagi menyokong pendirian beragama, kelompok tertentu, orang tertentu, tanpa memperjelaskan status palsu hadis-hadis itu, maka Umar mengarahkan supaya pemidato/penceramah itu di dakwa dan dipenjarakan.
PAS, UMNO atau sesiapa sahaja harus berhati-hati dlm hal ini. Demi mempertahankan perjuangan partinya, ada ustaz PAS yang berhujjah dengan hadis-hadis palsu dan Dhoif. Malangnya, takda ahli UMNO yang sedar dlm hal ini, takda Ustaz yang sanggup menegurnya. Yang pelik lagi DAP pun berminat nak baca ayat Quran dan hadis!

Ciri-ciri hadis palsu

Sesungguhnya Allah s.w.t. telah menyatakan di dalam al-Quran bahawasanya Dialah yang akan menjaga agama ini. Apabila Allah menjaga agama ini dengan memelihara al-Quran dari sebarang penyelewengan secara tidak langsung Allah juga menjaga sunnah Rasul-Nya Muhammad s.a.w. melalui perintahnya untuk mentaati Rasul-Nya.

Nabi Muhammad s.a.w. turut memberikan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh ummatnya iaitu, hendaklah memegang teguh kepada sunnahnya.Maka Allah telah menganugerahkan kepada ummat ini dengan para ulamak yang ikhlas mempertahankan agama-Nya ini, menjelaskan kepada ummat tentang hadis-hadis baginda serta mengasingkan antara yang sahih boleh beramal dan yang dhoif (lemah dan Maudu’ (palsu) yang sama sekali tidak boleh beramal dengannya. Demikian agama Allah ini dijaga dan dipelihara dari sebarang unsur yang boleh merosak serta memesongkan agama ini dari jalan yang lurus.

Oleh itu para ulamak hadis telah meletakkan kaedah-kaedah yang penting bagi mengetahui ciri-ciri sesuatu hadis itu sama ada ianya palsu atau tidak. Antaranya:

1. Sekiranya sesebuah hadis itu bertentangan dengan al-Quran, kerana al-Quran dan sunnah nabawiyyah sumbernya hanya satu iaitu kedua-duanya wahyu daripada Allah.

2. Sesebuah hadis yang bertentangan dengan sunnah mutawatir yang sahih, tidak bercakapr dan Rasulullah rkerana sunnah bersumberkan dari Rasulullah menurut hawa nafsunya bahkan ianya wahyu yang duwahyukan kepadanya.

3. Hadis-hadis yang mengandungi unsur-unsur yang berlebih-lebihan (mujazafah) yang tidak pernah nabi mengucapkan seperti yang demikian. Antaranya melampau-lampau dalam menyatakan ancaman atau sesuatu ganjaran yang besar hanya kerana perbuatan atau amalan yang ringan. Hadis seperti ini banyak diriwayatkan oleh para (qussas) penceramah atau (zuhhad) orang-orang yang zuhud dan seumpamanya.

Contoh perkara-perkara yang telah disebutkan di atas ini terkandung di dalam buku yang sedang dibincangkan ini iaitu majmuk syarif.

Fadhilat sesuatu amalan ditentukan oleh dalil

Fadhilat atau kelebihan sesuatu amalan itu mesti datangnya dari perkhabaran al-Quran atau sunnah Nabi s.a.w. Ini disebabkan fadhilat itu adalah suatu benda yang ghaib yang tidak ada jalan lain untuk mengetahuinya melainkan melalui perkhabaran wahyu. Penentuan sesuatu fadhilat tertentu kepada amalan yang tertentu itu datangnya dari Allah s.w.t. Maka seseorang tidak boleh mendakwa sesuatu amalan itu ada fadhilat tertentu tanpa membawakan dalil daripada Al-Quran atau sunnah yang sahih.

Kandungan Majmuk Syarif

Antara isi kandungan buku majmuk syarif ini ialah:-

Fadhilat surah

Kandungan yang terkandung di dalam buku majmuk syarif ini ialah pertamanya dibawakan beberapa surah dari al-Quran iaitu surah Yasin, al-Kahfi, al-Sajdah, al-Fath, al-Rahman, al-Waqi’ah, al-Mulk, Nuh, al-Muzammil dan al-Naba’. Tiga daripada surah-surah ini dinyatakan fadhilat-fadhilatnya iaitu Yasin, al-Kahfi dan al-Sajdah. Tetapi malangnya riwayat-riwayat yang dinyatakan merupakan riwayat yang palsu dan riwayat yang tidak ada asalnya.

Kaifiyyat doa nisfu sya’ban

Dinyatakan “Inilah kaifiyyat membaca doa nisfu sya’ban bahawa hendaklah sembahyang sunat kemudian daripada sembahyang maghrib 2 rakaat maka ayatnya yang pertama kemudian daripada fatihah ‘Qulya ayyuhal kafirun’ dan ayatnya yang kedua kemudian daripada fatihah ‘Qulhu wallahu ahad’ kemudian memberi salam maka membaca yasin 3 kali dengan niat yang pertama minta dipanjangkan umur kerana ibadat kepada Allah ta’ala dan niat yang kedua minta rezeki yang banyak serta halal kerana buat bekal ibadat kepada Allah ta’ala dan niat yang ketiga minta ditetapkan iman kemudian membaca doa ini: اللّهُم ياذا المنِّ ولا يُمَنُّ عَليكَ ياذاَ الجَلاَلِ والإكْرَامِ…sehingga akhirnya (majmuk syarif, hal: 99-100)

Kaifiyyat seperti ini tidak ada dalam sunnah Nabi s.a.w. Para ulamak hadis telah meletakkan kaedah umum yang menyatakan semua hadis-hadis yang menyebutkan pensyariatan sembahyang malam nisfu sya’ban kesemuanya hadis-hadis yang batil.

Syeikh Muhammad al-Syaqiri al-Hawamidi berkata:

“Solat 6 rakaat pada malam nisfu sya’ban dengan niat menolak bala’ dan niat supaya dipanjangkan serta membaca yasin dan berdoa tidak syak lagi ianya merupakan perkara baru (bid’ah) dalam agama. Ianya juga bercanggah dengan sunnah Rasulullah s.a.w. Orang yang mensyarahkan kitab Ihya’ berkata: Solat ini (6 rakaat malam nisfu sya’ban) masyhur di dalam kitab-kitab yang terkemudian yang datang daripada sufi dan aku tidak dapati solat ini juga doanya mempunyai sandaran yang sahih dalam sunnah. Tatapi ianya berasal dari amalan para masyaikh. Berkata Ashabuna: Sesungguhnya dibenci berkumpul untuk menghidupkan malam nisfu sya’ban sama ada di masjid atau selainnya. Al-Najmu al-Ghaithi ketika mengulas tentang menghidupkan malam nisfu sya’ban secara berjamaah beliau berkata: Bahawasanya perbuatan ini telah diingkari oleh para ulamak ahli Hijaz antaranya Atho’ dan Ibn Abi Mulaikah, juga para fuqahak Madinah serta Ashab Imam Malik dan mereka semua menyatakan ianya bid’ah. Tidak thabit dari Nabi s.a.w. dan juga para sahabat menghidupkannya secara berjamaah. Imam al-Nawawi berkata: Solat rejab dan sya’ban merupakan bid’ah yang mungkar lagi buruk”.(al-Sunan wal Mubtadaat hlm 128-129)

Syeikh al-Hawamidi berkata lagi:

“Adapun doa اللّهُم ياذا المنِّ ولا يُمَنُّ عَليكَ ياذاَ الجَلاَلِ والإكْرَامِ… sehingga akhirnya, telah diketahui melalui syarah kepada kitab Ihya’ bahawasanya ianya doa yang tidak ada asalnya. (al-Sunan wal Mubtadaat hlm 72)

Faedah istighfar rejab.

Di dalam Majmuk syarif halaman 101 menyatakan: Telah sabda Rasulullah s.a.w. kepada saidina Ali bin Abi Talib r.h. hai Ali suruh olehmu akan raja istighfar ini barangsiapa membaca istighfar ini atau ditaruh pada rumahnya atau pada mata bendanya atau menanggung akan dia sertanya, maka dikurniai Allah ta’ala akan dia pahala 80 ribu nabi, dan 80 ribu pahala siddiqin, dan 80 ribu malaikat, dan 80 ribu orang yang syahid, dan 80 ribu masjid dan barangsiapa yang membaca istighfar ini selama-lama hidupnya 4 kali atau3 kali atau 2 kali maka diampun Allah ta’ala baginya dosanya. Jikalau diwajibkan neraka sekalipun diampun Allah ta’ala jua. maka hendaklah dibaca akan dia pada tiap-tiap malam atau siang supaya dapatlah pahala yang tersebut itu. Dan sabda nabi s.a.w. barangsiapa membaca akan istighfar ini maka dibuat baginya 80 negeri di dalam syurga dan tiap-tiap negeri itu 80 mahligai dan pada tiap-tiap satu mahligai 80 buah rumah dan pada tiap-tiap buah rumah satu pemajangan dan pada tiap-tiap satu pemajangan itu 80 bantal dan pada tiap-tiap satu bantal itu 8 bidadari. kemudian dinyatakan istighfar tersebut.

Inilah antara contoh (mujazafah) berlebih-lebihan dalam menyatakan ganjaran yang sangat besar bagi sesuatu amalan yang ringan, dengan hanya membaca istighfar ini maka pengamalnya akan mendapat pahala 80 ribu nabi, malaikat dan sebagainya. Adalah mustahil bagi sesiapa sahaja yang beramal dengan amalan tertentu boleh mencapai darjat para nabi. Imam Ibnu al-Qayyim menyatakan: “Seolah-olah si pendusta yang keji ini tidak mengetahui bahawasanya selain dari nabi, walaupun dia bersembahyang selama umur nabi Nuh sekalipun dia tidak akan mencapai pahala seorang nabi pun”. (al-Manar al-Munif)

Kenyataan bahawa ini adalah raja istighfar bercanggah dengan hadis yang sahih yang diriwayatkan dari syaddad bin Aus :

قال: سَـيِّدُ الإستِغْـفَار: اللهُـمَّ أنتَ ربِّي، لا إلـهَ إلا“عن النبي أنتَ، خَلَقْتَنِي، وأناَ عَبْدُكَ وأناَ عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أعُوْذُ بِكَ مِن شَـرِّ ما صَنَعْتُ، أبُـوْءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَليَّ وأبُـوءُ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلا أنْتَ”.
Maksudnya:

Nabi s.a.w. bersabda bahawa istighfar inilah yang dinamakan penghulu istighfar, sesiapa yang membacanya pada waktu petang kemudian mati pada malamnya akan memasuki syurga, dan sesiapa yang membacanya pada waktu pagi kemudian mati pada hari itu akan memasuki syurga.(al-Bukhari)

doa awal dan akhir tahun

Seterusnya dinyatakan, inilah doa akhir tahun iaitu hendaklah dibaca 3 kali pada akhirnya waktu asar hari ke 29 atau 30 daripada bulan zulhijjah, maka barangsiapa membaca doa ini daripada waktu yang telah tersebut maka berkatalah syaitan kesusahanlah bagiku dan sia-sialah pekerjaanku pada setahun ini dibinasakan dengan satu saat jua dengan sebab membaca doa-doa ini maka diampuni Allah Ta’ala sekalian dosanya yang setahun ini. Inilah doanya:

وَصَلَّى اللهُ عَلَى سَيِّدِناَ وَمَوْلاَناَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ، اللّهُمَّ ماَ عَمِلْتُ فِي هَذِهِ السَّنَةِ مِمَّا نَهَيْتَنِي عَنْهُ فَلَمْ أَتُبْ مِنْهُ ولَمْ ترضه ولم تَنْسَهُ وحَلِمْتَ عَلَيَّ بعدَ قُدْرَتِكَ على عُقُوبَتِي ودَعَوتَنِي إلَى التَّوْبَةِ منه بعد جُرْآتِي على مَعْصِيَتِكَ فَإنِي استغفرك فاغفرلِي وما عَمِلْتُ فيها مِمَّا ترضاه ووَعَدْتَنِي عليه الثَّوابَ فأسئلك اللهم يا كَرِيْمُ ياذا الجلال والإكرام أن تتَقَبَّلَهُ مِنِّي ولا تَقْطَعُ رَجَاِئي مِنْكَ يا كرِيْمُ وَصَلَّى اللهُ عَلَى سَيِّدِناَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ.

Sementara fadhilat doa awal tahun pula dinyatakan, Inilah fadhilat doa awal tahun iaitu hendaklah dibaca dia ini 3 kali kemudian daripada sembahyang maghrib pada malam satu haribulan Muharram dan barangsiapa membaca ini maka bahawasanya syaitan berkata Ia telah amanlah anak adam ini daripada aku barang yang tinggal daripada umurnya pada ini tahun kerana bahawasanya Allah Ta’ala telah mewakilkan dua malaikat memelihara akan dia daripada fitnah syaitan, inilah doanya:

وَصَلَّى اللهُ عَلَى سَيِّدِناَ وَمَوْلاَناَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ، اللّهُمَّ أنت الاَبَدِيُّ القَدِيْمُ الأوَّلُ وعلى فَضْلِكَ العَظِيْمِ وُجُودِكَ المُعَوَّلِ، وهذا عَامٌ جَدِيْدٌ قد أقبَلَ نَسْأَلُكَ العِصْمَةَ فيه من الشيطانِ وأوْلِياَئِهِ وجُنُودِهِ، والعَوْنَ على هذه النَّفْسِ الأمارة بالسوءِ، والاشتِغاَلَ بما يُقَرِّبُنِي إلَيكَ زُلْفَى ياذا الجلالِ والإكرامِ يا ارحمَ الراحِمِيْنَ وَصَلَّى اللهُ عَلَى سَيِّدِناَ وَمَوْلاَناَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ.

Jamaluddin al-Qasimi berkata doa ini ialah doa yang direka dan tidak berasal dari Nabi s.a.w. tidak juga berasal dari para sahabat, tabiin dan tidak diriwayatkan dalam musnad-musnad sehinggakan ianya tidak wujud dalam kitab maudhuat (iaitu kitab yang memuatkan hadis-hadis palsu). Doa ini hanya dicipta oleh syeikh jadi-jadian. Dan perkataan “berkatalah syaitan kesusahanlah bagiku dan sia-sialah pekerjaanku pada setahun ini dibinasakan dengan satu saat jua dengan sebab membaca doa-doa ini” merupakan suatu pembohongan yang sangat besar ke atas Allah dan Rasul-Nya. (Islahul Masajid hlm 129)

Doa Haikal

Satu lagi doa yang tidak warid dari Nabi s.a.w. serta fadhilat yang melampau-lampau terkandung dalam majmuk syarif ialah doa haikal. Dinyatakan seperti berikut “ Inilah khasiat fadhilat doa haikal yakni tujuh doa daripada nombor 1 sampai 7 dan sampai Qul ‘Auzu birab binnas bahawasanya adalah diriwayatkan oleh nabi kita s.a.w. pada suatu hari sedang nabi kita duduk dalam masjid madinah.

Maka Jibrail alaihi salam pun datang membawa firman ujarnya : wahai Rasulullah salamullah ta’ala pada tuan hamba dan firmannya hai kekasihku adapun doa HAIKAL yakni 7 doa ini dihantarkan Tuhan pada tuan hamba maka barangsiapa yang tiada percaya pada doa ini KAFIR lah ia dan barangsiapa membaca dia atau menyimpan dia maka Allah subhanahu wa ta’ala melepaskan dia dan ibu bapanya daripada api neraka.

Ya Muhammad s.a.w. barangsiapa menaruh doa ini di dalam rumahnya maka tiada boleh masuk jin dan syaitan ke dalam rumahnya itu. Ya Muhammad barangsiapa suratkan doa ini dan dipakai diperbuat tangkal nescaya terlepaslah ia daripada azab sengsara dan wabak dan duduk dalam aman dan lagi barangsiapa yang menaruh doa ini sentiasalah ia dihormati orang termulialah ia pada orang banyak dan ketika hendak mati pun tiadalah ia merasai azab sakarat maut itu maka dengan mudahnya sahaja nyawa itu keluar. Barangsiapa membaca doa ini tiap-tiap hari dan jika tiada boleh membaca diperbuatnya azimat nescaya beroleh pahala umpama membaca
-70 ribu kali khatam quran dan-70 ribu mati syahid dan-70 ribu naik haji dan-mendapat kebajikan seumpama membuat 70 ribu masjid-memerdekakan 70 ribu hamba-Menjamu 70 ribu orang berbuka puasa-70 orang hafaz quran-70 ribu alam-70 ribu ahli ibadah-70 ribu malaikat-70 ribu nabi dan beroleh kekayaan, kebesaran Jibrail, Mikail, Israfil, Izrail.
Ya Muhammad s.a.w. barangsiapa menaruh, maka dengan berkatnya terlepas ia daripada segala orang yang membuat fitnah dan luputlah ia dari sekalian orang yang membuat fitnah dan luputlah ia daripada sekalian bala’ dan jika ada dia berhutang nescaya terlepaslah ia daripada hutangnya itu dan segala musuhnya pun binasalah.

Kemudian dalam buku tersebut membawa beberapa contoh kejadian aneh yang berlaku ke atas pengamal doa Haikal tersebut.

Diceritakan ada seorang yang telah dituduh mencuri di negeri Baghdad, apabila dibawa kepada hakim Baghdad ia telah dijatuhkan hukuman pancung. Maka si tukang pemancung itu pun cuba memancung kepala lelaki tersebut tetapi sedikit pun tidak dapat mencederakannya. Kemudian diselamkan lelaki tersebut tetapi tidak lemas, kemudian dibakar, tetapi tidak terbakar.
Melihatkan keadaan yang demikian itu maka hakim bertanya kepada lelaki tersebut apakah amalan yang diamalkannya? Maka jawab lelaki tersebut dikepalaku terdapat fadhilat doa Haikal, maka dengan berkat doa itu tidak akan terjadi sesuatu pun terhadapku, dan suatu bala’ pun tidak akan menghampiriku…”

Inilah fadhilat-fadhilat yang disebutkan di dalamnya. Dan diakhir fadhilat yang dinyatakan dalam kitab tersebut “Adapun fadhilat doa haikal ini terlalu banyak kadar diambil ringkasnya sahaja disini, sesungguhnya tiadalah syak lagi barangsiapa tiada percaya doa ini nescaya menjadi KAFIR”.

Hukam-hakam syarak dibina di atas dalil al-Quran dan sunnah. Ancaman kafir sesiapa yang tidak mempercayai doa ini adalah satu pembohongan kerana ianya tidak diketahui dari manakah datangnya fadhilat-fadhilat terhadap doa ini sedangkan persoalan Takfir merupakan hukum syarak. Sekiranya dilihat dari fadhilat doa ini seolah-olah cukup hanya mengamalkan doa ini kita akan mendapat pahala yang sangat besar seperti pahala 70 ribu nabi dan sebagainya. Ianya juga tidak masuk akal dan bertentangan dengan al-Quran. Al-Quran menyatakan Lailatul Qadar lebih baik dari seribu bulan. Adakah doa ini lebih baik dari Lailatul-Qadar?

Dukacita kita nyatakan disini bahawasanya secara tidak langsung doa ini akan meninggalkan kesan-kesan yang buruk kepada pengamalnya apatah lagi mereka yang mengamalkan doa ini terdiri daripada mereka yang jahil terhadap agama.

Antara kesan buruk yang boleh kita senaraikan disini ialah:

1- Masalah takfir iaitu dengan mudah menghukumkan kafir kepada mereka yang tidak mempercayai fadhilat doa ini. Sedangkan fadhilat-fadhilat yang dinyatakan jelas bertentangan dengan al-Quran dan sunnah.

2- Menjadikannya tangkal atau azimat sedangkan ianya jelas diharamkan di dalam Islam. Ini akan menyebabkan seseorang itu terpesong aqidahnya dengan sebab mempercayai tangkal dapat menghilangkan azab sengsara, menjauhkan bala’ dan sebagainya.

3- Dengan membacanya mendapat pahala 70 ribu pahala nabi, rasul sehinggakan malaikat pun dapat di atasi dengan hanya membaca doa ini. Ini akan menyebabkan masyarakat menganggap dengan hanya membaca doa ini dia sudah pun mendapat pahala yang tidak terhitung banyaknya menyebabkan mereka meninggalkan perkara-perkara atau kewajipan-kewajipan agama yang lain, contohnya jihad.

4- Mereka yang berhutang akan menganggap dengan membaca doa ini terlepas hutang-hutang. Sedangkan diriwayatkan bahawa Nabi tidak mahu menyembahyangkan jenazah yang masih lagi belum melangsaikan hutangnya.

5- Dengan membaca serta mengamalkan doa ini akan menjadi kebal. Ditikam tidak tembus, tidak lemas di dalam air dan sebagainya. Ini adalah kepercayaan karut. Sekiranya dengan membaca doa ini akan menjadi kebal sudah tentu nabi dan para sahabat membacanya ketika dalam peperangan badar dan sebagainya, sebaliknya Hamzah telah Syahid dalam peperangan Uhud dan nabi sendiri telah cedera di dalam peperangan yang sama.

Kesimpulan

Inilah antara kandungan yang terdapat di dalam buku kecil ini disamping kandungan yang lainnya seperti talqin mayat, doa kanzul Arasy, dan doa Ukasyah r.a. Malangnya masyarakat kita tidak mengetahuinya dan ianya dijual secara meluas. Bertambah malang apabila para pendakwah kita tidak mengambil berat persoalan seperti ini bahkan turut mempromosikannya kepada masyarakat. Adalah menjadi kewajipan pihak-pihak berwajib di dalam negara ini untuk mengharamkan penyebaran buku kecil ini terutamanya dari pihak yang mencetak buku ini dari terus tersebar di dalam masyarakat kita.
Salafi,
Apabila sesuatu amalan yang kita buat tidak bersumber dari hadis-hadis yang soheh atau hanya taklid kepada sumber yang tidak pasti, maka amalan itu jadi sia-sia. Atau setidak-tidaknya ia merupakan syariah baru dalam Islam! Hal baru yang diistilahkan agama dengan bid`ah ini sangat dilarang oleh rasulullah saw. Sebagai seorang muslim mukmin, kita mesti berusaha mengenali, mengkaji dan mendalami perihal Ushulul Bida` ini, supaya tidak sesat dalam beramal.
Salafi melihat adanya beberapa sekelompok muslim yang memusuhi sesama muslim, mendabik dada sebagai mujahid islam, suka memutus silaturrahim sesama muslim, hanya karena berbeda pendapat dalam masalah-masalah ijtihadiyah furu`iyyah (masalah fiqih ibadah dan mu`amalah), padahal sama-sama mempunyai pegangan dalil Alquran-Hadits, yang motifnya hanya karena merasa diri paling betul, orang lain semua salah, merasa hebat sendiri. Perilaku semacam ini dapat diidentifikasi sebagai BID`AH DHALALAH.

Wallahua`lam

Salafi Abu Amri Zulfiqar


TAHUKAH ANDA....?

1) Jika anda membaca Al-Quran empat mukasurat sahaja (dua helai) setiap kali selepas sembahyang fardhu, anda dapat menamatkan 30 juz dalam masa sebulan.

2) Jika anda membaca Sahih Bukhari 11 mukasurat sahaja pada waktu pagi dan 11 mukasurat sebelum tidur, anda dapat menamatkan bacaan keseluruhan Sahih Bukhari dalam masa 2 bulan sahaja. (Cetakan Dar Al-Salam: 1300 halaman)

3) Jika anda membaca Mukhtasar Sahih Muslim 11 mukasurat sahaja pada waktu pagi, dan 11 mukasurat sebelum tidur, anda dapat menamatkannya dalam masa sebulan sahaja. (CetakanDar Al-Fikr: 670 halaman).

4) Jika anda membaca 45 hadis sahaja setiap kali selepas sembahyang fardhu, anda dapat menamatkan bacaan Bulugul Maram dalam masa seminggu.

5) Jika anda membaca 16 hadis sahaja setiap kali selepas sembahyang fardhu, anda dapat menamatkan bacaan Musnad Ahmad dalam masa setahun sahaja. (50 jilid)

6) Jika anda membaca kitab Syamail Al-Nabi S.A.W oleh Imam Tirmzi, sebanyak 27 mukasurat sehari, anda dapat menamatkannya dalam masa seminggu.

7) Jika anda membaca kitab Al-Adab Al-Mufrad oleh Imam Bukhari, sebanyak 15 hadis sehari, anda dapat menamatkannya dalam masa 3 bulan. Dan jika anda membacanya sebanyak 45 hadis sehari anda dapat menamatkannya dalam masa sebulan sahaja.

8) Jika anda membaca kitab Ahkam Al-Quran oleh Imam Syafie sebanyak 37 mukasurat setiap hari, anda dapat menamatkannya dalam masa 2 minggu.

9) Jika anda menghafal satu rangkap syair sahaja setiap hari daripada kitab Alfiyah Ibn Malik, anda dapat menghafal keseluruhan 1000 rangkap syair Alfiyah dalam masa tidak sampai 3 tahun.

10) Jika anda menghafal dua hadis sehari, anda dapat menamatkan hafalan keseluruhan hadis-hadis Umdatul Ahkam dalam masa 8 bulan.

11) Jika anda membaca dan menghafal satu persoalan feqah sehari, berserta dengan khilaf dan dalilnya, maka dalam tempoh 3 tahun anda sudah menguasai lebih 1000 masalah feqah.

12) Jika anda menghafal 2 rangkap syair sahaja sehari, anda dapat menghafal keseluruhan syair matan Al-Baiquniyyah (Mustalah Hadis) dalam masa tidak sampai 3 minggu.

13) Jika anda menghafal 2 hadis sahaja setiap hari secara konsisten bermula hari ini, percayalah 30 tahun akan datang anda boleh berbangga di hadapan cucu-cucu anda dengan berkata, “Atuk sudah menghafal lebih 20,000 hadis”.

Salafi:

Jom kita mulai hari ni.

Salafi Abu Amri Zulfiqar


ANTARA PERKARA YANG MESTI PENGIKUT MAZHAB AS SYAFIE TAHU....

Apabila disebut nama Imam Syafie, rata-rata umat Islam mengenalinya. Apatah lagi di negara seperti Malaysia, yang majoriti umat Islam bermazhab Syafie. Pun begitu, ada pendapat atau pegangan Imam besar ini yang tidak popular di negara kita, atau sengaja tidak dipopularkan. Antaranya:

1) Imam Syafie berakidah Allah Taala berada di atas Arasy.

Imam Syafie berkata: “Pegangan dalam sunnah yang aku berada di atasnya, dan dipegang oleh mereka yang aku temui seperti Sufian, Malik dan lain-lain ialah menyaksikan bahawa tidak ada Tuhan yang sebenar selain Allah dan Muhammad adalah pesuruh Allah, dan Allah berada di atas arasyNya di langitNya, mendekati makhlukNya sebagaimana Dia kehendaki, turun ke langit dunia sebagaimana Dia kehendaki”. Al-Uluw oleh Al-Zahabi (hlmn: 165), Ijtima’ Al-Juyusy Al-Islamiyyah (hlmn: 165).

Salafi:
Imam AsSyafie menolak takwil ayat-ayat tersebut, sebagaimana pandangan salafiyyah terdahulu.

2) Imam Syafie menegaskan kewajipan beriman dengan segala sifat Allah, dan sifat Allah hendaklah dipelajari melalui syarak, bukan dengan akal.Kata Imam Syafie: “Allah Taala mempunyai nama-nama dan sifat-sifat. Tidak boleh seseorang pun menolaknya. Sesiapa yang menyalahi selepas tertegak hujah di hadapannya, maka dia menjadi kufur. Manakala sebelum tertegaknya hujah, dia dimaafkan dengan alasan jahil. Kerana ilmu tentangnya tidak dapat diperolehi dengan akal, pandangan, dan fikiran”. (Fathul Bari 20/494)

Salafi:
Malangnya ada sebahagian pengikut mazhab As Syafie yang menyelesaikan masalah-masalah agama, masalah aqidah dengan cara mendahulukan aqal berbanding mendahulukan `apa Allah kata…..apa nabi kata….sebaliknya apa pendapat saya kata!

Dan lebih malang lagi, apabila ada yang beramal sepanjang hayat tidak pernah peduli dimana firman-firman Allah dan hadis nabi yang menyuruhnya berbuat demikian.

3) Imam Syafie berpendapat pahala bacaan Al-Quran tidak sampai kepada si mati.

Firman Allah Taala yang bermaksud:“Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya”. (Al-Najm: 39).
Ibn Katsir berkata, “Daripada ayat yang mulia ini, Imam Syafie -rahimahullah- dan mereka yang mengikutinya mengeluarkan hukum bahawa pahala hadiah bacaan (Al-Quran) tidak sampai kepada orang-orang yang mati”. (Tafsir Ibn Katsir: 7/465).

Salafi:
Oleh itu terdapat banyak fatwa-fatwa Imam As Syafie yang mengharamkan kenduri aruah, tahlil dan yasinan yang selama ini tidak dihiraukan oleh umat Islam yang mengaku menganut mazhab beliau. Fatwa imam As Syafie ini berdasarkan kepada Athar Sohabah,hadis-hadis yang soheh, amalan para Salafiyyah. Amat malang ada yang mengamalkan larangan ini sepanjang hayatnya ,ada sebahagian pengikut mazhab As Syafie pulak tidak pernah terniat mahu mengkaji, kenapa larangan-larangan ini berlaku, sampai akhir hayatnya.

4) Imam Syafie melarang bersembahyang berimamkan orang Syiah.

Al-Buwaitiy (murid Imam Syafie) bertanya kepada Imam Syafie, “Bolehkah aku bersembahyang di belakang orang Syiah?”
Imam Syafie berkata, “Jangan bersembahyang di belakang orang Syiah, orang Qadariyyah, dan orang Murjiah”
Al-Buwaitiy bertanya pula tentang sifat-sifat mereka. Lalu Imam Syafie menyifatkan, “Sesiapa yang mengatakan Abu Bakr dan Umar bukan imam, maka dia Syiah”. (Siyar A’lam Al-Nubala 10/31).

Salafi:
Maka tidak sah berimamkan orang Syiah. Malangnya sebahagian umat Islam hari ini anggap tidak sah berimamkan orang UMNO pulak, atau tidak sah berimamkan orang yang tidak seidealogi parti dengan mereka. Ini mengarut!!. Sedangkan mazhab As Syafie hanya melarang berimamkan golongan As Syafie. Orang UMNO tu syiah ke? Mari kita kaji apa bahayanya fahaman Syiah ni. Jangan-jangan fahaman Syiah ini melekat kat orang PAS. Nanti ada pulak fatwa mengatakan haram berimamkan orang PAS! Bila lagi kita nak bersatu…….

5) Imam Syafie mencela kumpulan sufi.

Imam Syafie berkata: “Kalau seorang lelaki bertasauf pada awal pagi, tidak sampai waktu Zohor kamu akan mendapati dia sudah menjadi bebal”. (Manaqib Al-Syafie 2/208)
Kata beliau lagi: “Tidak ada seorang pun melazimi golongan sufi selama 40 hari, kemudian akalnya boleh kembali (seperti sediakala)”. (Talbis Iblis: 371)
Kata beliau lagi: “Seorang sufi tidak menjadi sufi melainkan ada padanya empat sifat:- sangat malas- banyak makan- banyak tidur- banyak cakap kosong”.(Manaqib Al-Syafie 2/208).
Antara kata-kata Imam Syafie lagi tentang tasauf: “Tasauf diasaskan di atas kemalasan”. (Hilyatul Awliya).

Beliau juga berkata: “Aku mendampingi golongan sufi selama tiga puluh tahun, aku tidak melihat seorang pun dalam kalangan mereka berakal kecuali Muslim Al-Khawwash”. (Talbis Iblis: 447).

Salafi:
Maksudnya golongan sufi yang sangat taksub dan menolak Al Quran dan As Sunnah. Mereka ni lebih taksub dengan fatwa Tok Guru, Tok Syeikh atau Abuya mereka, walaupun fatwa mereka jelas bercanggah dengan Al Quran dan As Sunnah. Sebahagian umat Islam ada yang sangat taksub dengan idealogi parti mereka. Sehingga berpandangan, siapa yang mahu syurga, maka daftarlah ahli parti kita. Siap dengan ada logo. Logo `syurga`kat kopiah, kat jubah, kat kereta, semua pasang logo….syurga pun ada logo la ni. Ni mengarut dah!!.

6) Imam Syafie mencela orang yang mendalami ilmu kalam.

Kata Imam Syafie: “Hukumanku terhadap ahli kalam ialah mereka hendaklah dipukul dengan pelepah-pelepah, diusung di atas unta, dan bawa mengelilingi kabilah-kabilah. Dilaungkan kepada mereka: Inilah balasan orang yang meninggalkan Kitab dan Sunnah, dan mempelajari ilmu kalam”. (Tawali al-Ta’sis: 64).

Salafi:
Ahli Kalam yang sesat dan lagi menyesatkan ini, membahaskan aqidah dari sudut pandangan rasional akal mereka. Lebih teruk lagi, golongan ini membentuk firqah-firqah yang sentiasa berjuang mempertahankan firqah mereka. Dan lebih-lebih teruk lagi, demi mempertahankan firqah, mereka sanggup mereka-reka hadis nabi dan mengadakan tokok tambah dalam agama dan ibadah.

7) Imam Syafie mewajibkan tunduk kepada dalil, bukan taksub kepada imam.

Kata Imam Syafie: “Ulama telah berijmak (sepakat) bahawa sesiapa yang telah nyata baginya sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, tidak halal dia meninggalkannya kerana mengikut pendapat seseorang”. (Madarij al-Salikin 2/335).

Salafi:
Malangnya hari ini, walaupun sesuatu perkara itu jelas dilarang oleh Rasulullah saw melakukannya melalui dalil-dalil, ada sunnah yang melarangnya, ada hadis yang soheh menegahnya, tetapi kebanyakkan manusia enggan meninggalkannya, bahkan berusaha mengajak orang lain turut sama-sama melaksanakannya…Mereka lebih taksub kepada Tok Guru dan Tok Syeikhnya berbanding menerima AlQur`an dan As Sunnah…Marilah kita tunduk kepada dalil-dalil yang jelas. Sami`na wa atho`na (kami dengar dan kami patuh)…bukan sami`na wa `asoina…bukan kami dengar tapi kami abaikan..)


Wallua`lam

Salafi Abu Amri Zulfiqar




ULAMA` ATAU PROFESSIONAL LAYAK JADI PEMIMPIN?



Nampaknya PAS masih terus memperdebatkan isu kepimpinan parti itu samada patut dipegang oleh golongan ulama atau professional?

Salafi setuju dengan pandangan `sangat ilmiah` oleh bekas Mufti Negeri Perak, Dr Mohd Asri Zainal Abidin yang kini sedang menyambung studinya di United Kingdom.

Dan salafi pun tidak berhasrat untuk memberikan pandangan kerana itu urusan ‘rumahtangga jiran’ yang tiada keperluan untuk campur tangan. Namun apabila ramai orang bertanya dalam bentuk soalan yang lebih luas; Dan jika tidak dijawab akan menambah keliru masyarakat, khususnya masyarakat Islam dalam Negara tercinta ini;

apakah menurut Islam hanya ulama sahaja yang boleh menjadi ketua negara? Jika itulah soalannya, maka kita juga rasa terpanggil untuk turut memberikan pandangan.

Menurut Dr Asri Zainal Abidin (Dr.Maza) pernah beliau ditemubual Akhbar Harakah dengannya beberapa bulan yang lalu, beliau telah menjawab persoalan-persoalan yang dikemukakan. Hampir semua jawapan itu telah disiarkan, cuma ada beberapa jawaban yang sengaja pihak Akhbar Harakah tidak disiarkan. Antara jawapan yang tidak diterbitkan itu, iaitu beliau menyebut:

“Pemikiran politik Islam yang difahami oleh sesetengah para pejuang negara Islam itu sendiri perlukan perubahan atau tajdid. Kita tidak boleh terikat dengan konsep Darul Islam yang tulis oleh al-Imam al-Mawardi r.h dalam al-Ahkam al-Sultaniyyah lagi.

Barangkali banyak isi kandungan buku tersebut sesuai untuk zaman Kerajaan Abbasiyyah yang ketika itu. Dengan menghormati kesarjanaan dan ketokohan al-Imam Al-Mawardi r.h, namun beliau dalam banyak hal menggambarkan sistem kerajaan pada zamannya, sedangkan konsep pentadbiran dan politik dalam Islam jauh lebih fleksibel dan luas dari apa yang digambarkan oleh al-Mawardi ketika itu…

Politik Islami tidak boleh lagi sekadar mengulangi apa yang disebut oleh al-Imam al-Mawardi r.h, nanti kita akan tersepit. Jika sesetengah tokoh agamawan yang memperjuangkan negara Islam tidak lebih terbuka, mereka akan menghadapi masalah, atau bercakaran sesama sendiri apabila tiba ke peringkat perlaksanaan Islam itu dalam alam realiti. Akhirnya, kelompok pembaharuan akan muncul di tengah-tengah mereka dan pergeseran akan berlaku. Maka tafsiran politik Islami itu sendiri perlu diluaskan”.

Ya, al-Imam al-Mawardi r.h dalam tulisannya menyebut syarat seorang khalifah mestilah memiliki ilmu yang memampukannya berijtihad dalam menyelesaikan keadaan dan hukum. Al-Mawardi juga menyebut bahawa khalifah mestilah berketurunan Quraish. Jika dilihat dari segi dalil, walaupun lojiknya ada, tetapi tiada nas yang mensyaratkan seseorang khalifah mesti mencapai ilmu ke peringkat ijtihad hukum.

Tetapi, ada hadis sahih yang menyebut: “Para imam itu daripada Quraish” (Riwayat Ahmad). Sehingga kata al-Mawardi: “Hendaklah imam (khalifah) itu berketurunan Quraish disebabkan ada nas yang menyebutnya dan telah berlaku ijmak (consensus)”. Ertinya, jika syarat-syarat al-Mawardi itu hendak dipegang, maka syarat Quraishlah yang mempunyai dalil hadis. Syarat-syarat lain hanyalah atas lojik yang kuat dalam urusan politik seperti sempurna pancaindera, kesihatan, pemikiran dan seumpamanya.

Menariknya, di Malaysia belum ada yang bertanya: apakah Perdana Menteri disyaratkan seorang yang berketurunan Quraish? Untuk pengetahuan, Ibn Khaldun dan beberapa sarjana lain mempunyai tafsiran yang berbeza dalam isu pensyaratan Quraish sebagai khalifah. Bukan di sini untuk saya bincangkan. Apa yang hendak saya sentuh, perlu keluasan pemikiran dalam menganalisa atau berpegang dengan teks-teks klasik yang sebahagiannya mempunyai keadaan yang berbeza.

Isu pemimpin negara mestilah ulama menjadi lebih rancak dibincang dalam dunia pemikiran apabila tercetusnya Revolusi Iran dan Khomeini memperkatakan tentang konsep Wilayah al-Faqih yang meletakkan faqih atau ulama sebagai pemimpin. Konsep itu mempunyai akar umbi kefahaman Syiah yang tersendiri, walaupun ia juga didebatkan di kalangan mereka. Gerakan-gerakan Islam yang wujud, sebahagiannya terpengaruh dengan perkembangan-perkembangan ini.

Di samping, pengalaman menunjukkan ramai pemerintah negara yang ‘bukan ulama’ dalam kalangan umat Islam telah gagal untuk berpegang dengan Islam, hingga ramai yang menyangka hendaklah ulama yang menjadi pemerintah. Padahal, penyelewengan yang berlaku dalam banyak keadaan bukan disebabkan latar pendidikan, tapi disebabkan oleh prinsip kehidupan yang dihayati oleh seseorang individu pemerintah itu sendiri. Dalam ertikata lain, jika pemerintah itu bukan ulama sekalipun, tetapi jika dia ingin menjadikan negara berpegang dengan prinsip-prinsip Islam, nescaya dia mampu melakukannya.

Ini kerana, dia boleh mendapatkan khidmat ulama dan nasihat mereka. Betapa ramai pemerintah yang bukan saintis tetapi berjaya menyuburkan perkembangan sains dan teknologi dalam negaranya. Sebaliknya, jika pemerintah itu lulusan pengajian Islam sekalipun, tetapi tiada hasrat meletakkan keadilan seperti yang dituntut oleh Islam, maka maksud siasah islamiyyah tetap tidak akan tercapai.

Kemudian, apa yang menjadi masalah kepada masyarakat kita siapakah ulama menurut kefahaman orangramai?. Apakah seseorang itu dianggap ulama hanya kerana dia berkelulusan pengajian Islam? Atau kerana dia memakai jubah dan serban? Atau kerana dia dipanggil ‘ustaz’?. Perkataan ulama berasal dari ‘ilmu’. Bermaksud seseorang yang menguasai ilmu. Jika ia dikaitkan dengan pengajian Islam adalah membawa maksud seseorang yang menguasai ilmu dalam bidang pengajian Islam.

Bidang pengajian Islam itu pula luas; ada bab ibadah, muamalah, siasah, tazkiyah al-nafs dan lain-lain. Apakah jika seseorang yang hanya menguasai satu bidang sahaja sedangkan tidak ada kemahiran dalam siyasah atau politik, maka layak digelar ulama yang boleh memerintah? Al-Imam al-Mawardi sendiri meletakkan salah satu dari tujuh syarat khalifah mempunyai pemikiran yang memampukannya menguruskan politik dan kemaslahatan rakyat jelata. Jika dia bergelar ulama, tetapi ‘kontang’ dalam soal ini, dia tidak layak.

Menurut Dr Maza lagi; samada ulama atau professional yang layak menjadi ketua negara hanya membazirkan waktu. Apa yang penting kita hendaklah jelas; apakah yang kita kehendaki daripada pemerintahan dan politik? Yang menjadi tanggungjawab politik islami adalah keadilan dan kesejahteraan yang berdasarkan petunjuk wahyu.

Dalam melaksanakan maksud ini, hasrat seseorang pemerintah yang dibantu oleh ilmu pengetahuan adalah penting. Jika dia ulama yang mahir dalam politik serta mempunyai ketangkasan siasah, tentulah itu yang terbaik. Jika dia seorang ahli politik yang mahir sekalipun tidak ulama, dia boleh dibantu oleh para ulama yang mendokong hasratnya. Apatah lagi kita kini dalam kerangka negara moden yang lebih teratur dan tersusun dibanding negara pada zaman buku-buku klasik politik Islami itu ditulis.

Apa yang menjadi masalah adalah jika seseorang jahil atau tidak mahir pentadbiran dan siyasah tetapi ingin memerintah. Sekalipun dia memakai gelaran ‘ulama’ ataupun professional. Justeru itu, Nabi s.a.w bersabda kepada sahabah baginda yang soleh dan warak Abu Zar al-Ghifari :

“Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya.” (Riwayat Muslim).

Namun Khalid bin al-Walid r.a. sekalipun Nabi s.a.w. pernah menegur dan membantah beberapa tindakannya yang melanggar disiplin peperangan yang digariskan oleh baginda, tetap baginda pilih mengepalai tentera Islam dan menggelarnya sebagai pedang Allah. Ini kerana kemampuan yang dimiliki Khalid tidak dimiliki oleh sahabat-sahabat lain, sekalipun mereka lebih berilmu dan dekat dengan Nabi s.a.w dibandingkan Khalid.

Al-Imam Ibn Taimiyyah dalam Al-Siyasah al-Syar`iyyah fi Islah al-Ra`iy wa al-Ra`iyyah menyebut: “Apabila dua orang, salah seorangnya lebih amanah dan seorang lagi lebih kuat (mampu) maka hendaklah didahulukan yang lebih bermanfaat untuk jawatan berkenaaan dan paling kurang mudharatnya bagi jawatan tersebut. Maka dalam mengepalai peperangan, yang kuat dan berani -walaupun padanya ada kejahatan- diutamakan dari lelaki yang lemah dan tidak berkemampuan walaupun dia seorang yang amanah.

Maka tanggungjawab umat Islam sekarang bukan membincangkan ‘ulama’ atau ‘professional’ yang layak memerintah, tetapi melihat tanggungjawab jawatan tersebut dalam kerangka politik hari ini dan siapakah yang paling sesuai atau paling berkesan dalam mencapai matlamat sebuah negara yang adil dan dirahmati Allah. Isunya bukan isu gelaran, atau jenis pakaian, tetapi isu amanah dan kemampuan dalam mentadbir dan menguruskan kehidupan rakyat.

Salafi juga berpandangan demikian dalam soal apakah ulama` atau professional sebagai pemimpin. Malah Salafi melihat dalam kerangka politik yang lebih luas ketika Allah swt menyatakan bahawa:


“Sesungguhnya aku menjadikan di atas mukabumi ini khalifah, maka berkata para malaikat seluruhnya: Apakah Engkau menjadikan di dunia orang-orang yang akan melakukan kerosakan dan mereka yang akan menumpahkan darah? Sedangkan kami (para malaikat) bertasbih dan mensucikanMu, ya Allah? Allah menyatakan; sesungguhnya Aku lebih mengetahui dari kamu, apa-apa yang tidak kamu ketahui…..” (Al Baqarah: 30-32)

Kemudian Allah SWT telah mengajarkan nabi Adam as nama semua benda-benda yang ada di dunia sebagai persediaan untuk mengimarohkan dunia nanti. Bukan sahaja ilmu berkaitan aqidah, tasawuf atau Feqah sahaja, tetapi ilmu bagaimana mahu mentadbir dunia dengan ilmu dan kesejahteraan. Nabi Adam juga diajar bagaimana mahu memanfaatkan isi alam untuk kesejehteraan hidup di dunia.

Lebih jauh lagi, ketika Habil dan Qobil diperintahkan untuk melakukan korban kepada Allah swt.,dalam bentuk binatang ternak dan hasil pertanian, maka sudah tentu sebagai bapa, nabi Adam as telah mendidik anak-anaknya bagaimana mahu berternak dan bertani dengan cara yang betul dan diridhoi Allah swt.

Jadi, sebagai pemimpin, dia perlu mempunyai identiti dan kapasiti ulama dan professional. Tanpa ada keduanya, maka ia merupakan suatu kelemahan yang ketara, dan kelemahan itu impaknya akan menimpa rakyat jelata.


Wallu`alam


Salafi Abu Amri Zulfiqar

ADUKAN ISU DAN MASALAH ANDA