Isnin, Jun 01, 2009

ULAMA` ATAU PROFESSIONAL LAYAK JADI PEMIMPIN?



Nampaknya PAS masih terus memperdebatkan isu kepimpinan parti itu samada patut dipegang oleh golongan ulama atau professional?

Salafi setuju dengan pandangan `sangat ilmiah` oleh bekas Mufti Negeri Perak, Dr Mohd Asri Zainal Abidin yang kini sedang menyambung studinya di United Kingdom.

Dan salafi pun tidak berhasrat untuk memberikan pandangan kerana itu urusan ‘rumahtangga jiran’ yang tiada keperluan untuk campur tangan. Namun apabila ramai orang bertanya dalam bentuk soalan yang lebih luas; Dan jika tidak dijawab akan menambah keliru masyarakat, khususnya masyarakat Islam dalam Negara tercinta ini;

apakah menurut Islam hanya ulama sahaja yang boleh menjadi ketua negara? Jika itulah soalannya, maka kita juga rasa terpanggil untuk turut memberikan pandangan.

Menurut Dr Asri Zainal Abidin (Dr.Maza) pernah beliau ditemubual Akhbar Harakah dengannya beberapa bulan yang lalu, beliau telah menjawab persoalan-persoalan yang dikemukakan. Hampir semua jawapan itu telah disiarkan, cuma ada beberapa jawaban yang sengaja pihak Akhbar Harakah tidak disiarkan. Antara jawapan yang tidak diterbitkan itu, iaitu beliau menyebut:

“Pemikiran politik Islam yang difahami oleh sesetengah para pejuang negara Islam itu sendiri perlukan perubahan atau tajdid. Kita tidak boleh terikat dengan konsep Darul Islam yang tulis oleh al-Imam al-Mawardi r.h dalam al-Ahkam al-Sultaniyyah lagi.

Barangkali banyak isi kandungan buku tersebut sesuai untuk zaman Kerajaan Abbasiyyah yang ketika itu. Dengan menghormati kesarjanaan dan ketokohan al-Imam Al-Mawardi r.h, namun beliau dalam banyak hal menggambarkan sistem kerajaan pada zamannya, sedangkan konsep pentadbiran dan politik dalam Islam jauh lebih fleksibel dan luas dari apa yang digambarkan oleh al-Mawardi ketika itu…

Politik Islami tidak boleh lagi sekadar mengulangi apa yang disebut oleh al-Imam al-Mawardi r.h, nanti kita akan tersepit. Jika sesetengah tokoh agamawan yang memperjuangkan negara Islam tidak lebih terbuka, mereka akan menghadapi masalah, atau bercakaran sesama sendiri apabila tiba ke peringkat perlaksanaan Islam itu dalam alam realiti. Akhirnya, kelompok pembaharuan akan muncul di tengah-tengah mereka dan pergeseran akan berlaku. Maka tafsiran politik Islami itu sendiri perlu diluaskan”.

Ya, al-Imam al-Mawardi r.h dalam tulisannya menyebut syarat seorang khalifah mestilah memiliki ilmu yang memampukannya berijtihad dalam menyelesaikan keadaan dan hukum. Al-Mawardi juga menyebut bahawa khalifah mestilah berketurunan Quraish. Jika dilihat dari segi dalil, walaupun lojiknya ada, tetapi tiada nas yang mensyaratkan seseorang khalifah mesti mencapai ilmu ke peringkat ijtihad hukum.

Tetapi, ada hadis sahih yang menyebut: “Para imam itu daripada Quraish” (Riwayat Ahmad). Sehingga kata al-Mawardi: “Hendaklah imam (khalifah) itu berketurunan Quraish disebabkan ada nas yang menyebutnya dan telah berlaku ijmak (consensus)”. Ertinya, jika syarat-syarat al-Mawardi itu hendak dipegang, maka syarat Quraishlah yang mempunyai dalil hadis. Syarat-syarat lain hanyalah atas lojik yang kuat dalam urusan politik seperti sempurna pancaindera, kesihatan, pemikiran dan seumpamanya.

Menariknya, di Malaysia belum ada yang bertanya: apakah Perdana Menteri disyaratkan seorang yang berketurunan Quraish? Untuk pengetahuan, Ibn Khaldun dan beberapa sarjana lain mempunyai tafsiran yang berbeza dalam isu pensyaratan Quraish sebagai khalifah. Bukan di sini untuk saya bincangkan. Apa yang hendak saya sentuh, perlu keluasan pemikiran dalam menganalisa atau berpegang dengan teks-teks klasik yang sebahagiannya mempunyai keadaan yang berbeza.

Isu pemimpin negara mestilah ulama menjadi lebih rancak dibincang dalam dunia pemikiran apabila tercetusnya Revolusi Iran dan Khomeini memperkatakan tentang konsep Wilayah al-Faqih yang meletakkan faqih atau ulama sebagai pemimpin. Konsep itu mempunyai akar umbi kefahaman Syiah yang tersendiri, walaupun ia juga didebatkan di kalangan mereka. Gerakan-gerakan Islam yang wujud, sebahagiannya terpengaruh dengan perkembangan-perkembangan ini.

Di samping, pengalaman menunjukkan ramai pemerintah negara yang ‘bukan ulama’ dalam kalangan umat Islam telah gagal untuk berpegang dengan Islam, hingga ramai yang menyangka hendaklah ulama yang menjadi pemerintah. Padahal, penyelewengan yang berlaku dalam banyak keadaan bukan disebabkan latar pendidikan, tapi disebabkan oleh prinsip kehidupan yang dihayati oleh seseorang individu pemerintah itu sendiri. Dalam ertikata lain, jika pemerintah itu bukan ulama sekalipun, tetapi jika dia ingin menjadikan negara berpegang dengan prinsip-prinsip Islam, nescaya dia mampu melakukannya.

Ini kerana, dia boleh mendapatkan khidmat ulama dan nasihat mereka. Betapa ramai pemerintah yang bukan saintis tetapi berjaya menyuburkan perkembangan sains dan teknologi dalam negaranya. Sebaliknya, jika pemerintah itu lulusan pengajian Islam sekalipun, tetapi tiada hasrat meletakkan keadilan seperti yang dituntut oleh Islam, maka maksud siasah islamiyyah tetap tidak akan tercapai.

Kemudian, apa yang menjadi masalah kepada masyarakat kita siapakah ulama menurut kefahaman orangramai?. Apakah seseorang itu dianggap ulama hanya kerana dia berkelulusan pengajian Islam? Atau kerana dia memakai jubah dan serban? Atau kerana dia dipanggil ‘ustaz’?. Perkataan ulama berasal dari ‘ilmu’. Bermaksud seseorang yang menguasai ilmu. Jika ia dikaitkan dengan pengajian Islam adalah membawa maksud seseorang yang menguasai ilmu dalam bidang pengajian Islam.

Bidang pengajian Islam itu pula luas; ada bab ibadah, muamalah, siasah, tazkiyah al-nafs dan lain-lain. Apakah jika seseorang yang hanya menguasai satu bidang sahaja sedangkan tidak ada kemahiran dalam siyasah atau politik, maka layak digelar ulama yang boleh memerintah? Al-Imam al-Mawardi sendiri meletakkan salah satu dari tujuh syarat khalifah mempunyai pemikiran yang memampukannya menguruskan politik dan kemaslahatan rakyat jelata. Jika dia bergelar ulama, tetapi ‘kontang’ dalam soal ini, dia tidak layak.

Menurut Dr Maza lagi; samada ulama atau professional yang layak menjadi ketua negara hanya membazirkan waktu. Apa yang penting kita hendaklah jelas; apakah yang kita kehendaki daripada pemerintahan dan politik? Yang menjadi tanggungjawab politik islami adalah keadilan dan kesejahteraan yang berdasarkan petunjuk wahyu.

Dalam melaksanakan maksud ini, hasrat seseorang pemerintah yang dibantu oleh ilmu pengetahuan adalah penting. Jika dia ulama yang mahir dalam politik serta mempunyai ketangkasan siasah, tentulah itu yang terbaik. Jika dia seorang ahli politik yang mahir sekalipun tidak ulama, dia boleh dibantu oleh para ulama yang mendokong hasratnya. Apatah lagi kita kini dalam kerangka negara moden yang lebih teratur dan tersusun dibanding negara pada zaman buku-buku klasik politik Islami itu ditulis.

Apa yang menjadi masalah adalah jika seseorang jahil atau tidak mahir pentadbiran dan siyasah tetapi ingin memerintah. Sekalipun dia memakai gelaran ‘ulama’ ataupun professional. Justeru itu, Nabi s.a.w bersabda kepada sahabah baginda yang soleh dan warak Abu Zar al-Ghifari :

“Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya.” (Riwayat Muslim).

Namun Khalid bin al-Walid r.a. sekalipun Nabi s.a.w. pernah menegur dan membantah beberapa tindakannya yang melanggar disiplin peperangan yang digariskan oleh baginda, tetap baginda pilih mengepalai tentera Islam dan menggelarnya sebagai pedang Allah. Ini kerana kemampuan yang dimiliki Khalid tidak dimiliki oleh sahabat-sahabat lain, sekalipun mereka lebih berilmu dan dekat dengan Nabi s.a.w dibandingkan Khalid.

Al-Imam Ibn Taimiyyah dalam Al-Siyasah al-Syar`iyyah fi Islah al-Ra`iy wa al-Ra`iyyah menyebut: “Apabila dua orang, salah seorangnya lebih amanah dan seorang lagi lebih kuat (mampu) maka hendaklah didahulukan yang lebih bermanfaat untuk jawatan berkenaaan dan paling kurang mudharatnya bagi jawatan tersebut. Maka dalam mengepalai peperangan, yang kuat dan berani -walaupun padanya ada kejahatan- diutamakan dari lelaki yang lemah dan tidak berkemampuan walaupun dia seorang yang amanah.

Maka tanggungjawab umat Islam sekarang bukan membincangkan ‘ulama’ atau ‘professional’ yang layak memerintah, tetapi melihat tanggungjawab jawatan tersebut dalam kerangka politik hari ini dan siapakah yang paling sesuai atau paling berkesan dalam mencapai matlamat sebuah negara yang adil dan dirahmati Allah. Isunya bukan isu gelaran, atau jenis pakaian, tetapi isu amanah dan kemampuan dalam mentadbir dan menguruskan kehidupan rakyat.

Salafi juga berpandangan demikian dalam soal apakah ulama` atau professional sebagai pemimpin. Malah Salafi melihat dalam kerangka politik yang lebih luas ketika Allah swt menyatakan bahawa:


“Sesungguhnya aku menjadikan di atas mukabumi ini khalifah, maka berkata para malaikat seluruhnya: Apakah Engkau menjadikan di dunia orang-orang yang akan melakukan kerosakan dan mereka yang akan menumpahkan darah? Sedangkan kami (para malaikat) bertasbih dan mensucikanMu, ya Allah? Allah menyatakan; sesungguhnya Aku lebih mengetahui dari kamu, apa-apa yang tidak kamu ketahui…..” (Al Baqarah: 30-32)

Kemudian Allah SWT telah mengajarkan nabi Adam as nama semua benda-benda yang ada di dunia sebagai persediaan untuk mengimarohkan dunia nanti. Bukan sahaja ilmu berkaitan aqidah, tasawuf atau Feqah sahaja, tetapi ilmu bagaimana mahu mentadbir dunia dengan ilmu dan kesejahteraan. Nabi Adam juga diajar bagaimana mahu memanfaatkan isi alam untuk kesejehteraan hidup di dunia.

Lebih jauh lagi, ketika Habil dan Qobil diperintahkan untuk melakukan korban kepada Allah swt.,dalam bentuk binatang ternak dan hasil pertanian, maka sudah tentu sebagai bapa, nabi Adam as telah mendidik anak-anaknya bagaimana mahu berternak dan bertani dengan cara yang betul dan diridhoi Allah swt.

Jadi, sebagai pemimpin, dia perlu mempunyai identiti dan kapasiti ulama dan professional. Tanpa ada keduanya, maka ia merupakan suatu kelemahan yang ketara, dan kelemahan itu impaknya akan menimpa rakyat jelata.


Wallu`alam


Salafi Abu Amri Zulfiqar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ADUKAN ISU DAN MASALAH ANDA