Khamis, Mei 28, 2009

POLITIK SATU IBADAH.....?


Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Saudara-saudari,

Berbagai pandangan yang boleh Salafi perolehi, apabila bertanya kepada orang ramai mengenai POLITIK. Ada yang mengatakan politik itu kotor, oleh itu politik haruslah dipisahkan dari agama. Jangan campuradukkankan agama dengan politik, sebab politik itu sendiri mengamalkan kerja-kerja kotor.

Salafi berpandangan, pendapat seperti ini sangat merbahaya, dan boleh menjerumuskan seseorang ke lembah kehancuran. Pandangan seperti itu adalah pandangan sekuler yang memisahkan urusan dunia dengan urusan agama. Jika politik dipisahkan dari agama, maka sudah tentu politik akan mengabaikan sudut moral dan pembentukan insan yang sempurna.

Apabila ahli politik berfahaman seperti ini, maka ia bebas untuk melakukan apa sahaja walaupun amalan berpolitik yang dilaksanakannya nyata-nyata bertentangan malah mengenepikan moral dan budaya insan bertamadun.

Jadi, sebenarnya politik itu bersih, suci, Cuma manusia sendiri yang mengotorkannya. Ibarat persepsi seseorang mengenai `tandas`. Sejak dibangku sekolah lagi kita ditanam dalam benak kita bahawa `tandas itu suatu tempat yang kotor dan jijik`. Tiap-tiap hari nak masuk tandas, mesti tutup hidung. Sehingga tertanam dalam benak kita selama-lamanya bahawa tandas itu suatu tempat yg kotor dan jijik. Sedangkan di negara-negara Eropah, tandas mereka sangat bersih, macam bilik tidur, bersih dan wangi.

Mari kita jadikan politik itu sebagai satu ibadah, politik sebagai suatu jihad dan termasuk amal-amal soleh semasa kita masih hidup di dunia ini. Amin,tetapi sebelum itu mari kita ambil tahu, bilakah politik itu menjadi ibadah kpd Allah swt:

Sebelum itu, kita mesti tahu terlebih dahulu apa makna ibadah itu?

Bahasa:
patuh, taat, tunduk, menyembah, menghina, merendah, memperhambakan diri kepada seseorang/sesuatu.

Imam Maududi:
patuh, taat, tunduk kepada ketinggian dan kekuasaan seseorang, lalu diserahkan kepadanya segala kebebasan dan kemerdekaan dirinya, ditinggalkan segala penentangan dan kedurhakaan terhadapnya, malah ia terus mengikut telunjuk dan segala perintahnya.

Imam Mohammad Abduh:
Ibadah, adalah sejenis ketundukan yang sampai kepada kemuncaknya dan ianya lahir dari perasaan hati terhadap kebesaran dan keagungan serta percaya ada orang yang dihadapkan ibadat itu kepadanya tanpa diketahui puncanya baginya kuasa luar-biasa yang sukar difahami hakikatnya.


Ibnu Taimiyyah:
Disamping pengertian asal ibadat juga membawa erti yang amat penting-bukan sahaja dalam Islam malah dalam semua agama iaitu unsur kasih dan cinta, yang mana tanpa unsur itu, tujuan ibadat sebagaimana yg diperintahkan Allah swt tidak akan berhasil.

Katanya: “Ibadat asal maknanya kehinaan, tetapi ibadat yg diperintahkan Allah atau yg disyarakkan ke atas manusia merangkumi makna KEHINAAN dan KECINTAAN bersama, iaitu kemuncak kehinaan diri seseorang bila berhadapan dgn Allah dan kemuncak kecintaan kepada Allah swt”
Kesimpulan:

Berdasarkan pengertian tersebut, ibadat mestilah merangkumi dua faktor penting:

1. Tindakan menurut, mengikut dan mengikat diri dengan segala perkara yg disyarakkan Allah.

2. Pengikatan diri mematuhi segala yg disyarakkan Allah itu hendaklah lahir dari hati yg kasih dan cinta kepada Allah, yang mana tidak ada sesuatu dalam wujud ini yang lebih layak dikasihi dan lebih wajar ditaati selain dr Allah.

RUANG LINGKUP IBADAH

Ibnu Taimiyyah
Melalui bukunya UBUDIYYAH: Ibadat ialah nama yang menggabungkan setiap perkara yang disukai dan diredhoi Allah, samada dari jenis perkataan atau perbuatan, batin atau lahir seperti

§ sembahyang
§ zakat
§ haji,
§ bercakap benar,
§ amanah,
§ taat setia kepada ibubapa,
§ menghubungkan silaturrahim,
§ menepati janji,
§ menyeru kepada kebaikan,
§ mencegah kejahatan,
§ berjihad menentang orang-orang kafir dan munafik, berbuat baik kepada jiran tetangga,
§ bersimpati kepada anak yatim,
§ bersimpati kepada orang miskin,
§ kepada org yg putus bekalan dalam perjalanan,
§ kepada hamba abdi,
§ binatang-binatang pemeliharaan,
§ doa,
§ zikir,
§ baca Quran,
§ Cinta kepada Allah, cintakan rasulNya
§ takut kepada Allah, merujuk kepada Allah
§ Besyukur diatas segala nikmatnya
§ redho dgn Qodho` dan Qadarnya, berserah kepada Allah selepas berusaha serta harapkan rahmatNya.
§ ikhlas dlm melaksanakan ajaran agama
§ bersabar menerima hokum Allah
§ takutkan azab-siksaNya
semuanya adalah sebahagian daripada ibadat.

Oleh itu ibadah mempunyai skop dan daerah yg luas. Ia meliputi semua jenis amalan fardhu dan syiar Islam yang wajib (solat,puasa,zakat,haji) serta perkara-perkara sunat yang menjadi tambahan kepada ibadat2 yg wajib (zikir, doa, istighfar, tasbih, tahlil, takbir, tahmid)

Ia juga meliputi budi bahasa, kira bicara, menunaikan hak orang termasuklah taat setia kepada kedua ibubapa, silaturrahim, bertimbang rasa kepada golongan lemah, belas kasihan terhadap binatang.

POLITIK ALAT AGAMA

“Khilafah atau pemerintahan memastikan manusia seluruhnya mematuhi ajaran agama bagi mencapai kepentingan akhirat dan kepentingan dunia yang berasaskan akhirat, kerana semua kepentingan dunia disisi agama terletak di atas kepentingan akhirat. Justeru itu khilafah adalah merupakan pemerintahan bagi pihak Allah untuk menjaga kepentingan agama dan menjaga kepentingan dunia dengannya…”[1]

“Dunia adalah ladang akhirat. Tidak sempurna agama tanpa dunia. Pemerintahan dan agama adalah dua serangkai. Agama adalah asas, manakala pemerintahan adalah penjaganya. Akan rosaklah sesuatu yang tidak ada asas dan akan hilanglah sesuatu yang tidak ada penjaganya dan tidak sempurna tanpa pemerintahan”.[2]

POLITIK SATU TUGAS AGAMA

Menurut Prof.Dr Yusof alQardhowi
“Pada pandangan saya adalah wajib ke atas orang agama agar tidak membiarkan urusan politik terlepas ke tangan golongan sekuler, komunis dan lain-lain golongan yang merosakkan Islam atau yang jahil mengenai Islam atau golongan yang memusuhi Islam atau golongan yang tidak mementingkan Islam.

Umat Islam tidak akan Berjaya bersaing dengan bangsa-bangsa lain di dunia dalam membangunkan tamadun dunia tanpa penyertaan seluruh warga Islam mengendalikan pentadbiran negara dan berkecimpung dalam politik, dengan tidak membiarkan urusan pentadbiran negara berada ditangan golongan yang tidak bertanggungjawab, mempermainkan nasib umat islam bagi memenuhi hawanafsu mereka.

Disebabkan ini semua….maka adalah HARAM bagi setiap orang islam memencilkan diri dalam masjid, dengan membiarkan umat islam menderita menghadapi berbagai ancaman kemusnahan, sedang ia asyik dgn wiridnya di dalam masjid tanpa memperdulikan apa yg berlaku disekelilingnya.

Apabila politik dianggap satu tanggungjawab, maka setiap orang yg cintakan Islam, kuat iman, tidak akan melarikan diri daripa politik. Islam tidak akan benarkan orang-orang Islam berada di dalam rumah-rumah mereka dgn membiarkan iblis-iblis melakukan kerosakkan di dalam negara, menindas umat islam dengan berbagai perancangan jahat, sedang ia asyik dgn tahlil, tasbih, zikir dan munajat di dalam bilik. Islam mewajibkan ke atas umat Islam memberi perhatian kepada politik sebagaimana juga kewajipan-kewajipan lain dalam agama; sembahyang, puasa, zakat, haji dan lain-lain. Politik dianggap jihad untuk mempertahankan Islam
…”[3]


BILAKAH POLITIK BERTARAF JIHAD?

Apabila politik bertaraf jihad, maka setiap nafas, setiap gerak-geri, setiap perancangan, setiap golongan, setiap sumbangan harta-benda, tenaga dan pikiran dalam politik adalah dinilai sebagai ibadat dan amal soleh yang akan diberikan ganjaran yang sewajarnya, sebagaimana penegasan Allah dalam alQuran:

“…..Yang demikian adalah kerana sesungguhnya (tiap-tiap kali) mereka merasai penat lelah dan merasa lapar (dalam perjuangan) pada jalan Allah dan (tiap-tiap kali) mereka menjejak ditempat yang menimbulkan kemarahan org-org kafir dan juga (tiap-tiap kali) mereka menderita sesuatu yang mencederakan dari pihak musuh, melainkan semuanya itu ditulis bagi mereka (pahala) amal soleh.

Sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang yg berusaha memperbaiki amalannya. Dan tidak pula mereka membelanjakan sesuatu yang kecil atau yang besar dan tidak mereka melintas di suatu lembah, melainkan ditulis (pahala) bagi mereka; supaya Allah membalas dengan (balasan) yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan
…”[4]

Apabila politik bertaraf jihad, maka semua kerja-kerja politik dikira lebih tinggi nilainya dari ibadat khusus.

Suatu riwayat yang menerangkan bahawa Rasulullah saw telah melarang orang yang hendak meninggalkan jihad untuk beribadat, sabdanya:”…..jangan kamu lakukan, sesungguhnya kerja-kerja berjihad di jalan Allah, adalah lebih utama daripada sembahyang di rumah selama 70 tahun…”

BAGAIMANA MENJADIKAN POLITIK BERTARAF IBADAT

Dengan niat yg ikhlas untuk mencapai keredhoaan Allah semata-mata. Berpolitik sebagai suatu sumbangan untuk menegakkan pemerintahan secara Islam. Bagi mencapai status atau maqam ini, maka perlu ada beberapa perkara:

1. Perlulah menganggap semua jawatan dalam politik adalah amanah, bukan anugerah, sebagai beban bukan hadiah. Rasulullah saw bersabda: “Sesungguhnya jawatan itu adalah suatu amanah, sesungguhnya ia adalah suatu kehinaan di hari Qiamat, kecuali orang yang mengambilnya bersama-sama dengan hak dan tanggungjawabnya serta menunaikan segala hak-haknya”. Dan sikap ini akan melahirkan:

a. Perasaan tidak sombong dan lupa diri bila dilantik atau dipilih memegang sesuatu jawatan.

b. Perasaan tidak kecewa dan hampa bila kehilangan sesuatu jawatan atau tidak dipilih atau kalah dalam pertandingan
c. Perasaan kesungguhan dan kegigihan menjalankan tugas yang dibebankan

d. Perasaan takut menyalahgunakan jawatan untuk kepentingan diri sendiri.

2. Melalui pendekatan yang halal

Pendekatannya mestilah bersih dan halal, iaitu dengan memakai kaedah “Matlamat tidak menghalalkan cara”. Inilah kaedah politik Islam. Konsep dan kaedah ini mengharamkan segala bentuk penyelewengan, penipuan fitnah, putarbelit, penganaiyaan dan mainan politik yang kotor dan menjijikkan. Antara amalan politik yang sangat-sangat dipandang keji oleh Islam ialah perbuatan, amalan memberi dan menerima rasuah dan sogokan. Sabda Rasululah saw: “Allah melaknat pemberi dan penerima rasuah..”

3. Menjaga prinsip-prinsip kepimpinan Islam

a. Kasih sayang dan bertimbangrasa terhadap anak buah dengan mengutamakan kepentingan mereka dari lain-lain kepentingan. Sikap ini telah dijelaskan Allah swt dlm al Quran:

“…..Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang rasul dari kalangan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad saw) yang menjadi sangat keberatan kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat inginkan kebaikan bagi kamu dan ia pula menumpukan perasaan belas serta kasih saying kepada orang yang beriman..” (At Taubah:128)

b. Tidak sombong dan sentiasa merendahkan diri. Sikap ini melahirkan kasih sayang dikalangan ahli dan perpaduan dalaman yang kukuh.


Saiyyidina Abu Bakar As Siddiq menegaskan:
“……..Sesungguhnya aku dilantik, tetapi aku bukanlah orang yang paling baik dari kalangan kamu..”

Saiyyidina Omar bin alKhottob:
“…..Sesiapa dari kamu yang melihat sesuatu kesilapanku, maka hendaklah ia betulkan kesilapan itu..”

Saiyyidana Ali:
“…….Wahai orang ramai sesungguhnya aku adalah salah seorang dari kamu, hak dan tanggungjawabku adalah sama dengan hak dan tanggungjawab kamu…”

Tetapi tidak seperti iblis, secara sombong mendabik dada:

“Aku lebih baik darinya, engkau jadikan aku dari api, sedang dia engkau jadikan dari tanah”

4. Jujur dalam kepimpinan

Sikap ini amat penting dalam politik islam. Tanpa kejujuran dan amanah sesuatu program akan sia-sia. Allah taala berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan mengkhianati RasulNya dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedangkan kamu mengetahui…” (AlAnfal: 22)


Sampai disini dulu perbahasan mengenai politik itu suatu ibadah, dan satu jihad. Semoga kita semakin matang dalam berpolitik, dan segala kerja-kerja politik menjadi ibadah dan merupakan jihad yang bernilai tinggi di sisi Allah swt

Wassalam

Salafi Abu Amri Zulfiqar



[1] Ibnu Khaldun dalam kitabnya MUQADDIMAH.
[2] Imam al Ghazali dalam Ihya Ulumuddin
[3] Prof.Dr Yusof alQardhowi di dalam HAULA QADHAYAL ISLAM
[4] At Taubah ayat 20-21

POLITIK MENGHALALKAN FITNAH DAN TUDUHAN ADALAH POLITIK ORANG-ORANG MUFLIS


Assalamualikum dan salam sejahtera,


Saudara-saudari,

Salafi geleng kepala ketika menyemak semula artikel Harian Metro, Isnin 4 Mei 2009, ruangan Setempat, atas tajuk `TUDUHAN MELAMPAU`, dakwa BN Perak guna bomoh jampi kerusi speaker.

IPOH: “Ini satu tindakan yang tidak bertanggung-jawab dan jijik yang tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lebih-lebih lagi seorang bergelar ustaz

“Bayangkan bagaimana beliau sanggup mengeluarkan tuduhan yang begitu melampau meskipun di saat mereka (Pakatan Rakyat)menghadapi pelbagai cabaran kini. Kalau apa pun suasananya, bukan ini caranya dia boleh bertindak sesuka hati,” kata Menteri Besar Datukl Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau mengulas dakwaan mengaitkan beliau dan kerajaan Barisan Nasional (BN) Perak mendapatkan khidmat bomoh untuk menjampi kerusi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti yang dibuat Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Perak Pakatan Rakyat (BBC-PR), Drs Khalil Idham Lim Abdullah dalam laman blognya dua hari lalu.

Zambry berkata, tuduhan itu sama sekali tidak bertanggung-jawab selain menanam kebencian rakyat terhadap Kerajaan Perak yang diterajuinya.

“Ini satu tindakan keterlaluan selain bermotif menanam kebencian rakyat terhadap kerajaan negeri terutama ketika sidang DUN pertama pada 7 hingga 11 Mei ini.

“Saya tidak percaya bahawa tuduhan itu dikeluarkan seorang Yang Berhormat dan mempunyai latar belakang agama,” katanya pada siding media khas di kediamannya malam tadi.

Katanya, kenyataan itu jelas untuk mengapi-apikan rakyat dan beliau tidak akan membiarkan dakwaan itu daripada berleluasa.

Justeru, beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Khalil yang juga ADUN Titi Serong selain membuat laporan polis terhadap beliau.

“Saya sudah berbincang dengan peguam dan akan membuat laporan polis malam ini (semalam) berhubung tuduhan itu.

Laporan polis akan dibuat berdasarkan tuduhan yang dikeluarkan Khalil dalam laman blognya yang menyebut tindakan kerajaan negeri membawa bomoh masuk dalam Dewan Undangan Negeri dibangunan SUK,” katanya.

Katanya, laman blog itu turut mendesak Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria supaya mengeluarkan fatwa mengenai perkara itu.

Komentar Salafi,

Sesudah membaca kembali artikel ini, Salafi rasa sangat hairan, macam mana hal ini boleh berlaku dalam negara yang sedang mempertahankan nikmat kedamaian dan kesejahteraannya agar berterusan sampai bila-bila ini.

Apa nak jadi dengan rakyat dalam negara kita ini. Tak habis-habis bertelagah sesama sendiri. Salafi berpandangan, memang pembangkang sudah sangat melampau membuat tuduhan-tuduhan yang tidak berasas sama sekali.

Ada bukti ke, pihak kerajaan negeri bawa masuk bomoh dalam Dewan Undangan Negeri tu? Ada ke kesan-kesan perbomohan di kawasan tu, ada berteh, ada kemenyan ada kesan bungabunga jampi….Kalau takda kenapa sebarkan cerita-cerita palsu? Bukankah itu fitnah namanya? Bukankah itu tuduh tanpa bukti?.

Salafi rasa sangat sedih, sikap mereka para pembangkang yang sanggup menghalalkan akhlak yang tidak baik demi memperjuangkan Islam, kononnya. Mereka nak jadi macam Hercules, merompak harta orang kaya, kemudian hasil rompakan itu di berikan/disedekahkan kepada golongan miskin. Mereka masih mengamalkan cara kerja “Matlamat menghalalkan cara”.

Saudara-saudariku sekelian,

Ramai orang politik dan `tidak politik` bukan sahaja murah duit atau harta dunia, tapi juga murah pahala. Dengan mudah sahaja mereka memberikan pahala mereka kepada orang lain, atau dengan mudah rela menanggung dosa orang lain jika mereka tidak dapat memberikanpahala.

Nabi saw pernah bertanya para sahabat baginda:

“ Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Jawab mereka: “Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta”. Sabda baginda: “ Orang yang muflis dalam umatku ialah sesiapa yang datang pada hari kiamat nanti bersama solat, puasa,zakat, juga dia pernah memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpah darah seseorang dan memukul seseorang.. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam neraka” (Riwayat Muslim).

Hadis ini amat menakutkan. Inilah hakikat muflis atau bankrap yang hakiki. Adapun muflis dalam kehidupan dunia mungkin boleh diselesaikan atau berakhir. Namun muflis jenis ini membawa kesan dalam kehidupan `alam abadi`. Ya, kita semua jarang yang terlepas dari kesalahan ini. Namun kita selalu berusaha dan ingin mengelaknya. Malangnya dalam kehidupan sesetengah ahli politik yang tidak berteraskan wahyu kita akan dapati bagi mereka memaki hamun orang, menuduh orang lain tanpa bukti, memakan harta orang/rakyat, menumpahkan darah orang lain samada mencedera atau membunuhnya tanpa sebab yang diizinkan syarak bagaikan `rukun politik` yang wajib dan `haram` ditinggalkan. Lebih buruk lagi jika itu semua dihalalkan atas berbagai alasan. Adakalanya mereka berselindung disebalik paparan-paparan pemikiran dan perjuangan Islam.

Mengkritik dan memberikan pandangan berbeza dalam politik adalah tidak mengapa. Bahkan merupakan satu keperluan. Jika membabitkan hak rakyat, maka rakyat perlu dibela. Apatahlagi dalam `reka bentuk` politik demokrasi yang diamalkan. Namun, memaki hamun, mencerca, sehingga ada yang mencarut adalah bertentangan dengan syarak. Lebih buruk lagi ada yang mengutuk sifat peribadi orang lain yang Allah ciptakan seperti mempersendakan `botak`, hidung besar`, mamak dan berbagai lagi. Makian, kutukan, sendaan itu dijadikan bahan ketawa yang `dikongsi dosa` bersama pengikut dan penyokong-penyokong.

Jika ada tuduhan terhadap musuh politiknya, belum pun ada bukti atau sokongan bukti terus sahaja diperkatakan secara `yakin tanpa syak` melalui pentas-pentas dan ceramah-ceramah umum. Bersorak sorai pengikut meraikan kemurahan pahala orang politik. Sementara membelasah harta orang dilakukan oleh banyak pihak yang tidak jujur dan amanah. Namun, dalam banyak keadaan ramai orang politik yang mempergunakan harta rakyat untuk kepentingan dirinya. Demikian sejarah juga menunjukkan penumpahan darah dan penyeksaan ke atas hamba-hamba Allah yang lain sering mempunyai hubungan dengan politik.

Lebih buruk lagi, ada yang menghalalkan kesalahan-kesalahan tersebut atas alasan demi menegakkan kebenaran. Lalu dipetiklah kata-kata sarjana itu dan ini seperti al Imam Al Ghazali dan an Nawawi bagi menjustifikasikan perbuatan salah tersebut. Padahal jika dilihat kepada konteks huraian yang mereka sebutkan, bukan demikian maksudnya.

Mana mungkin mereka menghalalkan maki-hamun, carut-marut atau menuduh tanpa bukti atas alasan untuk menegakkan kebenaran. Kebenaran apa jika begitu rupa?. Peperangan mempertahankan agama yang dihalalkan Allah dan rosulnya pun, tidak dibenarkan kita melampaui batas, apakah kita boleh melampaui batas ketika berpolitik?.

Firman Allah (maksudnya):
“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang melapui batas” (Suroh al baqorah: ayat 190)

Namun orang politik yang berperang untuk kerusi mereka melampui batas. Salafi masih teringat seorang penceramah parti politik tertentu, beliau juga terkenal dengan alunan zikir munajatnya, ketika beliau berceramah atas pentas politik bersama dengan pendengar dan penyokongnya mengalunkan `istigfar dan zikirnyanya`. Habis sahaja berceramah beliau memaki hamun pemimpin dan ulama oposisi sebagai `bapa-bapa syaitan`. Sangat pelik, bagaimana politik boleh mengubah watak manusia daripada berzikir kepada memaki hamun orang. Maka jangan hairan jika politik boleh menukar manusia menjadi pencerca, perompak harta, penyeksa bahkan pembunuh sekalipun. Dan mereka ini tetap mendabik dada sebagai pejuang islam, pejuang sunnah, kalau mati pun, mereka kata akan mati syahid.....

Wassalam

Salafi Abu Amri Zulfiqar

ADUKAN ISU DAN MASALAH ANDA