Derita angkara lori amang
Andasura (kanan) melihat keadaan Putri Noormia Khaisara yang mengalami jangkitan di paruparu akibat persekitaran tidak bersih di Kampung Selamat.
KUANTAN - “Bulan ini sahaja, sudah empat kali anak saya ditahan di wad dan jika dia ditahan lagi, doktor sudah tidak tahu hendak buat apa  selagi kami masih tinggal di kawasan berhabuk ini,” kata Rosdi Mustafa, 34, bapa kepada Putri Noormia Khaisara, 1 tahun 4 bulan yang disahkan mengalami masalah jangkitan paru-paru.


Rosdi berkata, lori mengangkut bijih besi atau digelar 'lori amang' sering berulang-alik di depan rumahnya menyebabkan kesihatan mereka sekeluarga terganggu dan paling teruk menerima kesannya, anak bongsu mereka yang kerap demam dan batuk sejak berusia enam bulan.



Menurutnya, dia memang mahu berpindah, namun tidak mampu kerana sewa tinggi, tambahan pula gajinya sebagai buruh tidak seberapa.



“Bapa mana yang tidak sayangkan anak. Jika boleh berubah badan, saya sanggup menggalas segala kesakitan anak. Setiap hari dia asyik batuk dan tercungap-cungap untuk bernafas.



“Saya bimbang terhadap tumbesarannya, jika dari kecil sudah berpenyakit, memang sukar untuk anak saya membesar seperti kanak-kanak lain,” katanya yang tinggal di Kampung Selamat, di sini.



Isterinya, Norasyikin Manap, 27, berkata, bukan anak bongsu sahaja yang sakit, malah dua lagi anak mereka seolah-olah silih berganti sakit gara-gara keadaan persekitaran berhabuk dan berdebu.



“Apabila musim kemarau, angin akan bawa debu amang ke rumah kami dan apabila musim tengkujuh pula, lecak di merata-rata tempat membuatkan apa sahaja di sekeliling kami akan bertukar menjadi karat termasuk pakaian.



“Sampai bila kami akan hidup seperti ini? Orang lain dapat untung, kami  dapat sakit.



Pihak lain yang kaya-raya, kami terus tersepit di laluan lori amang ini,” katanya.



Norasyikin berkata, dia terpaksa menjirus air di atas jalan bagi mengurangkan risiko habuk masuk ke dalam rumah.



“Gaji suami tidak seberapa, tetapi setiap bulan kami terpaksa membelanjakan duit lebih daripada kemampuan sendiri untuk berulang-alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan,” katanya.



Nasib keluarga berkenaan mendapat perhatian Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Mohd Fauzi Abdul Rahman yang simpati dengan keadaan menimpa mereka.



“Sudah lebih dua tahun masalah ini melanda penduduk, namun pihak berkuasa tempatan (PBT) seolah-olah pekakkan telinga dan butakan mata.



“Saya rayu pihak atasan cuba selesaikan masalah ini secepat mungkin kerana pelbagai musibah lain akan melanda penduduk Kampung Selamat ini,” katanya.



Adun Beserah, Andasura Rabu pula berharap pihak berkaitan mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah itu.



Menurutnya, lori amang yang berulang-alik 24 jam di kampung berkenaan sepatutnya mempunyai laluan khusus supaya habuk dan debu tidak melekat pada jalan serta rumah penduduk.



“Jangan semata-mata untuk mengejar keuntungan, nasib rakyat dipertaruhkan sedangkan pelbagai kaedah boleh dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah ini. Simpanan amang juga boleh ditempatkan di satu kawasan lain yang jauh dari petempatan penduduk.



"Saya akan bawa masalah ini ke Dewan Rakyat dan jika masih tidak selesai juga, kemungkinan akan ada demonstrasi besar-besaran bagi rakyat menuntut hak mereka," katanya.

Ulasan Taming Sari

Isu ini telah berulangkali disebut dihadapan pimpinan-pimpinan UMNO BN, dengan harapan ada solusi penyelesaiannya. Kita masih pegang kerajaan, takkan buntu untuk menyelesaikan isu kecil ini?. Sehinggalah menjelangnya PRU 13, isu ini hanya jadi isu picisan sahaja. Hari ini sebagaimana di ramal oleh Tamingsari, pembangkang akan mencari populeritinya dengan cuba menjadi hero menyelesaikan masalah mereka. Apa pun....kita perhatikan, dapatkah PR melaksanakannya janji manifestonya di Indera Mahkota, sama-sama kita tunggu........