Jumaat, September 08, 2017

HUKUM MEMBERI MAKAN DAGING KORBAN NON MUSLIM (2)



Image result for MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Rujukan blogger http://ulamasedunia.org/2016/08/15/hukum-memberi-makan-daging-korban-kepada-non-muslim/

Disusun semula oleh Norazli Bin Aziz S.ag.M.A.

Soalan: 
Apakah hukum memberi makan orang yang bukan Islam daripada daging korban?

Jawapan: Allah SWT berfirman:

فَكُلُواْ مِنۡهَا وَأَطۡعِمُواْ ٱلۡقَانِعَ وَٱلۡمُعۡتَرَّۚ كَذَٰلِكَ سَخَّرۡنَٰهَا لَكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ

Maksudnya: Maka makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur. 
(Surah Al-Hajj: 36)
Al-Imam Ibn Kathir Rahimahulah di dalam tafsirnya, Tafsir al-Quran al-‘Azim (5/428) menyebutkan bahawa mengenai ayat di atas, sebahagian salaf  mengatakan diharuskan untuk memakan sebahagian daripada hasil korban tersebut. Al-Imam Malik Rahimahullah mengatakan sunat untuk di makan hasil korban tersebut dan ada juga pendapat yang mewajibkannya sepertimana pendapat sebahagian al-Syafi’eyyah.
Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah menyebutkan di dalam al-Majmu’ bahawa al-Imam Ibn Munzir Rahimahullah telah mengatakan bahawa telah ijma’ iaitu dibolehkan untuk memberikan makan kepada fakir miskin dari kalangan umat Islam dari hasil korban manakala yang menjadi khilafnya adalah memberikan hasil korban kepada fakir miskin dari kalangan ahli al-zimmah.
Oleh itu, kami nyatakan di sini pendapat-pendapat yang berkaitan dengan permasalahan ini yang mana ada disebutkan oleh al-Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam kitabnya al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (8/425) dan begitu juga Ibn Qudamah al-Maqdisi Rahimahullah di dalam kitabnya al-Mughni (9/450):
  • Al-Imam Abu Hanifah Rahimahullah memberikan rukhsah(keringanan) bagi kafir zimmi yang fakir untuk diberikan kepada mereka daging korban. Ini juga adalah pendapat al-Hasan al-Basri Rahimahullah dan juga Abu Thaur Rahimahullah.
  • Mazhab Maliki berpendapat hukumnya makruh seperti memberi makan kepada Yahudi atau Nasrani.
  • Mazhab Hanbali berpendapat hukumnya harus dihadiahkan kepada orang kafir daripada daging korban yang sunat. Adapun yang wajib tidak diharuskan.
  • Dalam mazhab Syafi’e, yang masyhur tidak dibolehkan kerana korban adalah ketaatan unuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Namun, al-Imam al-Khatib al-Syarbini Rahimahullah menyebutkan bahawa al-Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Majmu’berpendapat bahawa daging korban yang disembelih kerana ibadah sunat boleh dibahagikan kepada kafir zimmi yang miskin. Akan tetapi jika korban tersebut dilakukan kerana wajib maka tidak boleh dibahagikan kepada mereka dan pendapat ini sangat mengejutkan al-Imam al-Azra’ie Rahimahullah. [Lihat al-Iqna’ fi Hal Alfaz Abi Syuja’. Dar al-Fikr, 2/593]
Kami berpendapat bahawa di dalam isu ini hendaklah dilihat dari sudut maslahah dan juga siyasah syar’iyyah supaya ia lebih harmoni dalam masyarakat di samping menjadi senjata dakwah yang paling ampuh kepada masyarakat yang bukan Islam. Kami katakan di sini:
  1. Sekiranya di dalam komuniti masyarakat Islam di sesuatu tempat terdapat jiran-jiran mereka yang bukan Islam dan mereka itu dikenali dengan sifat baik serta ramahnya dengan masyarakat setempat, jika terdapat lebihan dari hasil korban maka dibolehkan untuk diberikan kepada mereka.
  2. Namun jika hasil korban itu hanya mencukupi untuk orang Islam, maka dahulukanlah umat Islam setempat yang lebih memerlukan. Wallahu a’lam.
Ini kerana terdapat dalil dari Al-Quran agar berbuat baik kepada orang bukan Islam yang mana Allah SWT telah berfirman:

لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ

Maksudnya: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. 
(Surah Al-Mumtahanah: 8)
Memberikan daging korban kepada orang bukan Islam juga adalah termasuk di dalam berbuat baik yang dibenarkan oleh Allah SWT.
Selain itu, terdapat juga hadith yang mengisyaratkan agar berbuat baik kepada jiran meskipun mereka bukan dari kalangan orang Islam. Ianya adalah sebuah hadith daripada Abdullah bin ‘Amr al-‘As R.Anhuma yang mana telah menyembelih seekor kambing buat ahli keluarganya lalu beliau berkata: Adakah kamu telah menghadiahkan (daging tersebut) kepada jiran kita Yahudi? (beliau menanyakannya sebanyak dua kali) kerana sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah SAW telah bersabda:

مَا زَالَ جِبْرِيلُ يُوصِينِي بِالْجَارِ حَتَّى ظَنَنْتُ أَنَّهُ سَيُوَرِّثُه

Maksudnya: “Sentiasalah Jibril AS mewasiatkan kepadaku (berbuat baik) kepada jiran (dengan baik dan sopan) sehingga aku menyangka bahawa Jibril AS mengarahkan daripada Allah SWT agar menjadikan mereka sebagai pewaris.”
Riwayat Abu Daud (5152) & Al-Tirmizi (1943)
Semoga dengan pencerahan ini dapat menambahkan kefahaman kita dalam beragama serta membantu diri kita membuat persiapan dengan mengetahui hukum-hakam yang berkaitan bersempena bulan haji yang bakal tiba kerana didalamnya juga terdapat syariat sembelihan. Wallahu a’lam.
Akhukum fillah,
S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
8 Ogos 2016 bersamaan 5 Zulkaedah 1437H.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan