Definisi
Syarak : Janji untuk kebaikan khasnya
Istilah ulama’ feqah : Beriltizam untuk mendekatkan diri dengan kewajipan yang tidak disyarakkan secara mutlak atau pun terikat dengan sesuatu.
Dalil syarak
Firman Allah dalam ayat 7 surah al-Insan yang bermaksud : Mereka menunaikan nazar dan takut akan suatu hari yang mana azabnya merata di mana-mana.
Hadis riwayat imam Bukhari daripada Sayyidatina ‘Aishah daripada nabi S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sesiapa yang bernazar untuk taat kepada Allah maka taatilah akanNya dan sesiapa yang bernazar untuk berbuat maksiat kepadaNya maka janganlah membuat maksiat kepadaNya.

Hukum nazar
Nazar disyariatkan oleh Islam dan diharuskan untuk menghampirkan diri kepada Allah. Oleh sebab ia itu para ulama’ feqah berpendapat tidak sah nazar orang kafir.
Jenis-jenis nazar 
Nazar terbahagi kepada 3 jenis iaitu sebagaimana berikut :
Pertama : Nazar Lajaj
Ia merupakan nazar yang berlaku ketika seseorang itu berada dalam keadaan hilang pertimbangan diri akibat terlalu marah seperti dia berkata ketika dalam keadaan itu : ” Sekiranya aku bercakap dengan si pulan maka demi Allah atasku puasa sebulan”.
Kedua  : Nazar al-Mujazah ( Mukafaah )
Ia merupakan nazar yang mana seseorang itu bergantung pada sesuatu yang akan menyebabkan dia akan melakukan sesuatu. Dia berbuat demikian bukannya ketika hilang pertimbangan diri akibat terlalu marah. Contohnya seperti seorang yang bernazar itu berkata : Sekiranya Allah menyembuhkan penyakitku ini maka demi Allah aku akan bersedekah seekor kambing”.
Ketiga  : Nazar Mutlak
Ia merupakan nazar yang mana dilafazkan oleh seseorang bagi tujuan mendekatkan diri kepada Allah tanpa mengaitkan nazarnya itu dengan sesuatu perkara yang lain dan juga bukan dilafaz ketika hilang pertimbangan diri kerana terlalu marah. Contohnya seseorang itu berkata : Bagi Allah atasku puasa pada hari Khamis”.
Dipanggil juga nazar jenis kedua dan ketiga sebagai nazar kebajikan kerana orang yang bernazar itu berniat untuk berbuat kebajikan dan menghampirkan diri kepada Allah.
Hukum bagi setiap jenis nazar
Pertama : Nazar Lajaj
Hukumnya bergantung kepada perkara yang dikaitkan dengannya iaitu apa yang dinazar. Jika ia boleh berlaku maka wajib atas orang yang bernazar itu untuk melaksanakan apa yang dinazarkan atau pun membayar kafarah sumpah. Dia dibolehkan untuk memilih antara keduanya kerana nazar jenis ini hampir sama dengan nazar dari sudut mewajibkan diri(mewajibkan berpuasa sebulan misalnya) dan menyerupai sumpah pada sudut keadaannya sebagai jalan ke arah menghalang daripada sesuatu(tidak mahu bercakap dengan si pulan misalnya).
Dalilnya adalah sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh imam Muslim daripada ‘Uqbah bin ‘Amir daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Kafarah nazar seperti kafarah sumpah.
Kedua  : Nazar al-Mujazah
Hukumnya ialah jika apa yang dikaitkan dengan apa yang dinazar berlaku seperti sembuh daripada penyakit maka dia diwajibkan untuk melaksanakan apa yang telah dinazar seperti sedekah seekor kambing. Dia tidak boleh menggantikannya dengan perkara lain.
Dalilnya sebagaimana maksud firman Allah dalam ayat 29 surah al-Haj : Dan kamu hendaklah menepati dengan janji Allah apabila kamu berjanji.
Maksud hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh imam Bukhari daripada Sayyidatina ‘Aishah:Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka taatilah akanNya.
Ketiga  : Nazar Mutlak
Hukumnya ialah wajib ke atas orang bernazar untuk melaksanakan apa yang telah dinazarkan secara mutlak tanpa terikat pada sesuatu perkara.
Dalilnya adalah sebagaimana ayat 29 surah al-Haj sebagaimana disebut dalam nazar al-Mujazah di atas yang mana ia datang dengan dalil yang umum. Dia diharuskan untuk melewatkan pelaksanaan kepada apa yang telah dinazarkan sehinggalah dia merasakan bahawa dirinya sudah mampu untuk melaksanakannya seperti berpuasa pada hari Khamis.
Dia tidak boleh menukar nazarnya itu dengan kafarah sumpah kerana makna sumpah telah ternafi dengan nazar jenis ini.
SYARAT NAZAR YANG BERKAITAN DENGAN ORANG YANG BERNAZAR
Syarat nazar yang berkaitan dengan batang tubuh orang yang bernazar itu sendiri ada 3 syarat iaitu :
Pertama : Islam
Tidak sah nazar orang kafir kerana kafir bukan termasuk dalam ahli bagi kerja ibadat kepada Allah.
Kedua   : Mukallaf
Tidak sah nazar kanak-kanak dan orang gila kerana mereka bukan ahli bagi mewajibkan sesuatu ke atas mereka.
Ketiga  : Pilihan dan kehendak diri sendiri
Tidak sah nazar orang yang dipaksa sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah daripada Ibnu Abbas bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Diangkat daripada umatku jika dia berbuat secara tersalah, lupa dan apa yang dipaksa ke atasnya.
SYARAT NAZAR YANG BERKAITAN DENGAN APA YANG DINAZARKAN
Syarat nazar yang berkaitan dengan perkara yang dinazar pula ada 2 syarat iaitu :
Pertama : Perkara yang dinazar itu merupakan perkara yang bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah
Tidak boleh bernazar kepada perkara yang diharuskan oleh syarak kerana perkara itu tidak membawa kepada pahala atau dosa bagi sesiapa yang melakukannya. Jika seseorang itu bernazar dalam perkara yang diharuskan seperti makan, minum, tidur dan sebagainya maka ia tidak memberi kesan apa-apa kepada nazarnya.
Dalilnya adalah sebagaimana hadis riwayat imam Bukhari daripada Ibnu Abbas telah memberitahu : Adalah nabi S.A.W ketika berkhutbah, tiba-tiba ada seorang lelaki yang bangkit dan bertanya tentang dirinya. Maka mereka(para sahabat) bertanya : Abu Israel telah bernazar untuk sentiasa bangun, tidak duduk, tidak berteduh, tidak bercakap dan berpuasa. Maka jawab baginda S.A.W yang bermaksud : Biarkan maka bercakaplah, berteduhlah, duduklah dan tunaikan puasanya.
Hadis ini menunjukkan kepada kita bagaimana Rasulullah S.A.W menyuruh orang yang bernazar tadi untuk hanya berpuasa kerana puasa merupakan perkara ibadat dan taat. Maka menunaikan nazar berpuasa itu adalah wajib.
Begitu juga dilarang bernazar dalam perkara yang diharamkan seperti membunuh dan berzina.
Dilarang juga bernazar dalam perkara yang makruh seperti bernazar untuk meninggalkan sunat rawatib setiap kali selepas solat fardhu. Ini adalah kerana bernazar untuk melakukan perkara makruh dan haram bukan termasuk dalam perkara yang bertujuan untuk mendekatkan dirui kepada Allah dan ibadat.
Dalil yang mana imam Muslim meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud : Bukan nazar dalam melakukan maksiat kepada Allah.
Abu Daud meriwayatkan daripada Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Bukan nazar melainkan pada apa yang mengharapkan penerimaan Allah.
Kedua  : Perkara yang dinazar itu bukan daripada kewajipan yang memang telah diwajibkan dari mulanya lagi
Sekiranya seseorang itu bernazar untuk solat Zohor atau ingin mengeluarkan zakat hartanya maka nazarnya itu tidak sah kerana nazarnya itu tidak membawa kesan kepada kewajipan yang baru. Ini disebabkan solat Zohor dan zakat hartanya itu memang telah wajib dari mulanya lagi tanpa memerlukan kepada nazar lagi.
Dan terkeluar daripada kewajipan yang telah ditentukan ialah perkara yang diwajibkan secara fardhu kifayah maka ia diharuskan untuk bernazar dengannya. Sebagai contohnya seseorang itu bernazar ingin solat jenazah atau pun belajar ilmu fardhu kifayah seperti kedoktoran, jurutera dan sebagainya maka nazar ini diharuskan. Ini adalah kerana nazarnya tadi akan menjadikan fardhu kifayah pada asalnya kepada fardhu ‘ain. Fardhu kifayah hanya diwajibkan kepada sesetengah orang atau kumpulan sahaja di mana jika telah ada demikian itu maka segala kewajipan tadi akan gugur ke atas orang lain sedangkan fardhu ‘ain diwajibkan ke atas individu dalam apa jua keadaan.
Semoga penerangan ringkas mengenai nazar ini mampu memberi sedikit peringatan dan juga ilmu kepada kita semua.
Rukun Nazar



1. Orang yang bernazar.

2. Pekara yang dinazarkan.

3. Ucapan yang diguna untuk bernazar.

Syarat orang yang bernazar

1. Islam, tidak sah nazar kafir, kerana kafir tidak sah berbuat kebajikan.

2. pilihan sendiri yakni tidak dipaksa, tidak sah nazar orang yang dipaksa.

3. Lulus memerentah pada benda yang dinazarkan, tidak sah dinazar seumpama menyembelih kambing oleh orang yang ditahan daripada memerantah harta dengan sabab muflis/bengkrap, bodoh, kanak kanak dan oramg gila. Syarat ini pada nazar yang melibatkan harta adapun nazar yang tidak melibatkan harta maka sah nazar orang yang muflis dan bodoh, seperti bernazar hendak berpuasa.

4. Boleh memperbuat perkara yang dinazarkan. Maka tidak sah bernazar seorang akan puasa yang dia tidak kuasa lakukan seperti puasa sepanjang hayat atau bernazar hendak mengerjakan haji pada tahun ini pada hal dia tidak sempat hendak pergi ke Mekah dengan sebab jauh atau sempit waktu.

Syarat Ucapan yang diguna untuk bernazar

*Disyaratkan pada ucapan nazar hendaklah lafas yang memberi tahu melazimkan (mewajibkan) sesuatu, seperti berkata seorang yang bernazar “Jika akan lulus pereksa akau akan puasa sehari ”. 
*Tidak sah nazar dengan diniat didalam hati, kerana nazar termasuk dalam akad maka syaratnya mesti berlafas.

Syarat perkara yang dinazarkan

*Hendaklah perkara yang dinazarkan itu kebajikan yakni taat yang mendampingkan diri kepada Allah yang tidak tertentu atasnya.

*Tidak sah nazar pada perkara yang tertentu wajib atas orang yang bernazar, seperti sembahyang fardu.

*Tidak sah nazar pada perkara maksiat seperti sembahyang dengan tidak berwuduk, minum arak dan lainnya.

*Tidak sah nazar pada perkara yang makruh seperti puasa selama lamanya bagi mereka yang takut mudarat atau takut luput hak, seperti nafkah keluarga.

*Tidak sah nazar pada perkara yang harus seperti makan, berdiri atau duduk, sama ada nazar hendak melakukan perkara yang harus itu atau tidak mahu melakukannya.

*Apabila seorang itu bernazar pada perkara yang tidak sah nazarnya nescaya dia tidak wajib membayar kafarah dengan sebab dia menyalahi dengan apa yang dinazarkan, sekalipun pada perkara yang harus.

Bahagian nazar

Nazar terbahagi dua:

Pertama. Nazar lajaj dan gadab (لجاج وغضب). Makna lajaj ialah berpanjangan pada berkelahi atau bebalah, dan makna gadab marah. Nazar ini makruh.

*Cara nazar ini ialah:

A. seorang itu bernazar mewajibkan dirinya berbuat kebajikan apabila dia melakukan perkara yang telah dia tegah atas dirinya atau orang lain daripada memperbuatnya, seperti katanya “jika aku bercakap dengan si polan nescaya wajib atas ku puasa”, atau jika si Ahmad bercakap dengan si polan nescaya wajib atas ku berpuasa.

B. atau dia bernazar mewajibkan dirinya berbuat kebajikan apabila dia tidak melakukan apa yang telah dia tetapkan diatas dirinya atau oranglain, seperti katanya “jika aku tidak bercakap dengan si polan nescaya wajib atas ku puasa, sila kias yang lain

C. atau dia bernazar mewajibkan berbuat kebajikan jika apa yang diceritakan tidak benar, seperti katanya jika aku tak boleh angkat batu ini nescaya wajib atas ku berpuasa. Nazar ini (C) untuk menguatkan berita yang dibawa.

*Wajib orang yang bernazar lajat dan gadab memilih antara melakukan apa yang dia wajibkan atas dirinya seperti puasa pada contoh di atas, atau dia membayar kafarah sumpah iaitu diberi pilih antara memerdekdkan hamba yang mukmin yang tidak ada aib yang menyebab kan tidak boleh berkerja dengan baik, atau memberi makanan kepada sepuluh orang fakir atau miskin setiap orang satu cupak dengan makanan yang mengenyangkan di negerinya atau memberi pakaian dengan mana mana pakaian seperti baju kemeja, kain sarung, baju kurung, atau sapu tangan.

Kedua. Nazar tabarrur (تبرر) ) maknanya kebajikan. Nazar ini sunat kerana (للوسائل حكم المقاصد) bagi wasilah (nazar) mengikut hukum perkara yang diqasadkan (ibadat)

*Cara nazar ini ialah:

A. seorang itu bernazar mewajibkan dirinya berbuat kebajikan dengan ketiadan taklik (pergantungan), seperti berkata seorang yang telah sembuh dari penyakitnya “wajib atas ku berpuasa kerana Allah telah memberi nikmat kepada ku iaitu Dia sembuhkan penyakit ku”, atau “wajib atas ku menyembelih kambing qurban”. Maka wajib orang itu melakukan apa yang dinazarkan itu dengan segera dan tidak ada pilihan yang lain.


B. seorang itu bernazar mewajibkan dirinya berbuat kebajikan dengan taklik iaitu mengantungkan berbuat kebajikan dengan dapat nikmat atau hilangnya bencana seperti katanya “jika sembuh aku dari penyakit ini wajib atas ku puasa”. Maka wajib orang itu melakukan apa yang dinazarkan apabila didapati sifat yang digantungkan seperti puasa pada contoh dan tiada baginya pilihan yang lain.

Wallahua'lam