Ahad, Mei 19, 2013

PAHALA SOLAT SEKADAR FATWA POLITIK SAHAJA


Saya ingin memberi sedikit ulasan mengenai kenyataan Mursyidul Am PAS Dato Nik Aziz Nik Mat bahawa solat orang-orang UMNO tidak diberi pahala disebabkan dasar perjuangan mereka yang menolak Islam.

Ulasan sedemikian yang dibuat oleh Dato Nik Aziz Nik Mat bukanlah merupakan kali yang pertama. Sebelum ini pun sudah banyak fatwa-fatwa beliau yang hampir senada dengan apa yang dikeluarkan dua hari yang lalu.

Ramai pihak telah memberikan pandangan mengenai fatwa sedemikian. Rata-ratanya tidak dapat menerima dengan berbagai alasan dan sebahagiannya pula mengutuk fatwa sedemikian kerana dikatakan penentuan sesuatu amalan diterima atau sebaliknya adalah hak mutlak Allah SWT. Sebahagiannya pula suka melihat Tok Guru Nik Aziz lebih berperanan sebagai pihak yang bertanggungjawab menentukan PAS tidak terkeluar daripada landasan perjuangan antaranya mendaulatkan Islam dan melaksanakan hudud.
Saya cenderung melihat fatwa Dato Nik Aziz itu dari sudut membuat perbandingan mengenai dasar melaksanakan Islam samada yang kini dipratikkan oleh PAS atau seperti yang diperjuangkan oleh UMNO. 

Setidak-tidaknya bagi UMNO walaupun dikatakan tidak menjadikan Islam sebagai asas perjuangan namun sejak lebih 50 tahun yang lalu Islam dikatakan semakin subur terutama dari segi melahir dan menghidupkan institusi-institusi Islam yang telah memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Islam termasuk ahli dan penyokong PAS sendiri. Tetapi, PAS yang sehingga ini masih mengagung-agungkan komitmen mereka melaksanakan Islam atas beberapa sebab belum mampu menzahirkan sesuatu yang konkrit yang dapat dilihat sebagai gambaran mereka benar-benar memperjuang dan mendaulatkan Islam.

Kebersekongkolan PAS bersama DAP dan PKR yang kedua-duanya menolak perlaksanaan Islam secara terbuka dan dengan bongkak mengulang-ulang penentangan terbuka mereka terhadap Islam menjadikan fatwa seperti yang sering dikeluarkan oleh Dato Nik Aziz itu hilang kredibilitinya dan sekadar momok-momokkan sahaja.

PAS sekarang ini bukanlah PAS seperti dahulu. Perjuangan PAS bersama DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat bukanlah perjuangan yang meletakkan Islam sebagai asasnya. Dasar perjuangan Pakatan Rakyat yang terkandung di dalam Buku Jingga dan Manifesto Pilihanraya mereka yang dilancarkan baru-baru ini sama sekali tidak meletakkan Islam sebagai dasar yang diperjuangkan.    

Sekiranya kaedah yang sama digunakan bahawa kedua-duanya dikatakan menolak dasar Islam, apakah lebihnya PAS dan apakah kurangnya UMNO. Bagi saya kalau solat UMNO tidak mendapat pahala adakah mungkin Allah memberi pahala kepada solat orang PAS yang jelas-jelas menerima dan terus mempertahankan dua rakan politik yang lain khususnya DAP yang tanpa segan silu menolak Islam secara total. 

Bagi saya fatwa atau pendapat sedemikian mungkin relevan dan dapat digunakan sebagai hujah politik diketika PAS berada dizaman-zaman awal penubuhannya. Kini dengan sistem pengaliran maklumat yang bersamanya disertai dengan ilmu Islam telah menjadikan masyarakat Islam kini lebih terdedah kepada maklumat dan ilmu Islam yang lebih mendalam. Maka sebab itulah tidak hairan kalau pendapat Dato Nik Aziz itu hanya diletakkan ke dalam kategori gula-gula politik sahaja. 

Saya bersimpati dengan beliau atas kedudukan dan stature sebagai Tok Guru yang selama ini menjadi idola kepada ahli dan penyokong PAS. Kini stature sedemikian semakin hari semakin malap. Saya tidak mahu melihat suasana sedemikian berterusan hingga memadamkan kehebatan beliau yang telah ditunjukkan di dalam karier politik beliau selama ini. 

DATO DR HASAN MOHAMED ALI
Presiden JATI Malaysia
Tmn Tun Dr Ismail, KL
5 APRIL 2013


Tiada ulasan:

Catat Ulasan