Khamis, Disember 03, 2009

BERMAZHAB SYAFIE KAH KITA?




Oleh Taming Sari
Taming Sari agak tertarik membaca penulisan artikel Mohd Yaakob Mohd Yunus dalam ruangan Cetusan dan pandangan dalam Sinar Harian Pahang ms N15, bertarikh 29 November, 2009.
Memang dah lama benar Taming Sari ingin melontar idea-idea yang serupa beliau, tapi tak tahu nak mula dari mana. Bagi Taming Sari, lontaran idea beliau adalah mewakili kolompok-kelompok yang selama ini sering dituduh sebagai Wahabi. Dan, perlu diketahui bahawa kelompok Wahabi adalah kelompok yang telah difatwakan oleh JAKIM, IKIM, YADIM sebagai kelompok yang sesat, terkeluar dari kelompok Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Sebenarnya, ini suatu kesilapan yang besar dan perlu segera diperbetulkan sebelum terlambat. Jelas sekali, apabila kita membaca artikel Saudara Mohamad Yaakob Mohamad Yunus, baru kita perasan, bahawa Imam Syafi` lah yang Wahabi, kerana Imam As Syafi`elah yang sangat melarang sebutan lafaz secara kuat `usholli`, imam Syafie lah yang melarang tahlil arwah kerana katanya, pahala bacaan alQuran tidak akan sampai kepada orang yang telah mati. Begitu juga Imam Syafi`lah yang melarang wirid secara Jahr (bacaan kuat) selepas solat. Kalau itulah ciri-ciri mengenal ajaran Wahabi, bermakna Imam Syafie lah yang Wahabi, dan Syafie telah terkeluar dari Ahlis Sunnah Wal Jamaah bahkan sesat.
Namun, apabila jelas Imam As Syafie berani berfatwa begitu kerana bersandarkan kepada AlQuran dan sunnah nabi, maka Nabi Muhammad saw juga rupanya terseret sama menyebar ajaran sesat fahaman Wahabi. MasyaAllah. Secara jahil murakkab (bodoh dan sombong) kita telah tersasarkan tuduhan kepada rasulullah saw. Kita nak kata Wahabi sesat tetapi secara tak sedar, rupanya kita tuduh nabi yang sesat, sebab larangan wahabi itu terdapat dalam larangan Imam As Syafie, dan larangan Imam As Syafie itu adalah merujuk larangan dan pengamalan rasulullah saw dan seluruh para sahabat yang mulia radialllahuanhum ajmain. Jangan kita lupa, ada 15 perkara yang mana jika dilakukan oleh umatku, kata nabi saw, halal ke atas mereka bala, diantaranya: sengaja meninggalkan sunnah nabi dan apabila orang yang terkemudian mencerca orang-orang yang terdahulu. Wal iyazubillah..

Sunnah itu terbahagi dua; sunnah amaliyah (sunnah yang mesti dibuat, mesti ikut) dan sunnah tarkiyyah (meninggalkan sesuatu yang nabi larang juga dianggap sunnah). Contoh: setelah nabi selesai memberi salam kiri dan kanan selepas solat, dikatakan nabi tidak menyapu tangannya ke muka, walaupun sahabat terlihat pada dahi baginda terdapat debu dan pasir kesan daripada sujud (masjid zaman nabi hanya berlantaikan tanah dan pasir). Kenapa nabi tak sapu? Kerana nabi bimbang umatnya akan menganggap aksi menyapu muka itu dikira sebahagian sunnah solat, atau akan dianggap pelengkap solat.
Mari kita telusuri sebahagian artikel penulisan Mohd Yaakob Mohd Yunus:
Sesetengah golongan yang menganggap diri mereka sebagai pembela Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) bahkan penganut mazhab Shafie yang tulen, amat menentang budaya talfiq atau mengikut hukum tentang sesuatu perkara daripada pelbagai mazhab. Umat Islam di Malaysia khususnya orang melayu diwajibkan untuk hanya berpegang kepada mazhab Shafie sahaja bagi kekal sebagai ASWJ. Mereka yang mengamalkan talfiq maka tercemarlah pemikiran mereka dan jadilah mereka ini kelompok Wahabi.
Tetapi apa yang menghairankan adalah, Imam As Syafie sendiri tidak pernah menyuruh sesiapapun untuk mengikuti pandangan beliau sepenuhnya. Bahkan Imam As Syafie amat menganjurkan anak murid serta pengikutnya untuk menimbang pandangannya dgn Al Quran dan As Sunnah sebelum menerimanya. Dalam erti kata yang lain amalan talfiq itu tidak pernah ditentang oleh Imam As Syafie sendiri.
Menurut Imam As Syafie: “Apabila kalian menemukan dalam kitabku sesuatu yang berlainan dengan hadis Rasulullah, peganglah hadis Rasulullah itu dan tinggalkanlah pendapatku itu” (Riwayat Al Harawi di dalam Dzam al Kalam, alKhatib di dalam Ihtijaj bi Al Syafie, Ibnu Asakir, Al Nawawi di dalam al Majmu`, al Fullani, Ibn al Qayyim, Abu Nua`im di dalam Al Hilyah dan Ibnu Hibban di dalam sahihnya).
Beliau juga pernah berkata:”Apabila suatu masalah ada hadisnya yang sahih daripada Rasulullah saw menurut kalangan ahli hadis, tetapi pendapatku menyalahinya, pasti aku akan mencabutnya (meninggalkannya) samada ketika aku masih hidup atau selepas kematianku”.( Riwayat Abu Nua`im di dalam alHilyah, al Harawi, Ibnul Qayyim di dalam al I`lam dan al Fullani). Namun apabila ada golongan di Malaysia yang mengikuti saranan Imam as Syafie ini maka mereka dianggap telah menderhaka kepada Mazhab Shafie versi Malaysia yang dipandang paling tulen.
Melafazkan niat `Usholli` ketika mengerjakan solat fardhu mahu pun sunat adalah ciri-ciri yang paling penting untuk menjamin seseorang itu sah bermazhab As Syafie. Jika ada yang berpegang pendapat tidak perlu berniat `usholli` ketika solat maka tipislah harapannya untuk mendapat TAULIAH mengajar agama disesetengah negeri.
Anehnya jika kita buka kitab al Umm maka tidak wujud satu patah baris pun yang mengajar kita lafaz niat Usholli mahupun nawaitu. Bagi Imam As Syafie, niat itu adalah perbuatan di dalam hati dan solat itu dimulakan dengan lafaz takbir.
Di dalam al Umm, beliau berkata: “Siapa yang pandai membaca takbir, nescaya tidaklah dia memulakan solatnya melainkan dengan takbir itu sendiri dan takbirnya ialah Allahu akbar.”
Jika selepas solat pula tidak diamalkan zikir beramai-ramai dengan suara yang kuat, pengamalnya berkemungkinan tinggi akan terus dicap sebagai pengikut ajaran wahabi yang dianggap oleh sesetengah pihak tidak termasuk dalam kalangan ASWJ.
Kita buka sekali lagi kitab al Umm dan lihat apa yang diperkatakan oleh Imam As Syafie tentang zikir lepas sembahyang. Beliau berkata: Saya (imam Shafie) memandang baik bagi imam dan makmum, bahawa berzikir kepada Allah, sesudah keluar (selesai) daripada solat. Kedua-duanya menyembunyikan zikir kecuali bahawa dia itu adalah seorang imam yang harus orang belajar darinya. Allah azza Wajalla telah berfirman: “dan janganlah engkau menyaringkan bacaan doa engkau atau solatmu, juga jangan engkau perlahankan...(Suroh al Isra` (17): 110). Tidaklah engkau keraskan, ertinya janganlah engkau tinggikan suara, dan tidak engkau diam sahaja, ertinya sehingga tidak dapat engkau dengar sendiri.
Imam al Baihaqi seterusnya memperjelaskan mazhab As Syafie dalam kitabnya Sunan al Kubro: Bahawa zikir dan doa sesudah solat harus diperlahankan (secara sirr) keciuali jika imam ingin mengajarkan zikir itu kepada manusia, maka dikuatkan (secara jahr) supay dapat dipelajari. Apabila sudah selesai dipelajari dan diketahui, maka zikir dan doa itu haruslah diperlahankan (secara sirr) semula. “ Sekian pandangan sebenar Imam As Syafie ttg zikir selepas solat tetapi malangnya wujud sesetengah tokoh di Malaysia beranggapan mereka itu lebih Syafie daripada Imam As Syafie itu sendiri.
Mengkritik amalan mengirim bacaan pahala kepada arwah seperti ritual tahlil ketika kenduri arwah atau membaca alQuran ditepi kubur bukanlah satu perkara yang bijak di Malaysia. Si pengkritik pasti akan menghamburkan dengan pelbagai kata-kata berbentuk celaan dan yang paling populer tentulah tuduhan sebagai Wahabi.
Imam al Nawawi di dalam Syarah Muslim telah berkata: “Adapun bacaan al Quran (yang pahalanya dikirimkan kepada si mati) maka yang masyhur di dalam mazhab as Syafie tidak dapat sampai kepada si mati yang dikirim.. Sedang dalilnya bagi imam As Shafie dan pengikit-pengikutnya, iaitu firman Allah: “bahawa sesungguhnya tidak ada balasan bagi seseorang melainkan balasan apa yang diusahakannya..” (An Najmi (53): 39), dan sbda Nabi Muhammad saw: “Apabila manusia meninggal dunia, maka terputuslah amal usahanya kecuali 3 hal: iaitu sedekah jariah, ilmu yg dimanfaatkan dan anak yang soleh ( lelaki atau perempuan) yang berdoa untuknya..” (Hadis riwayat Imam at Tarmizi) Namun kata Imam an Nawawi ini bagaikan tiada nilai bagi pembela-pembela mazhab As Syafie di Malaysia.
Bagi mereka yang tidak mahu mengerjakan kenduri arwah bukan sahaj dianggap menderhaka kepada mazhab Syafie bahkan adakalanya mereka dicerca sebagai golongan bakhil. Sedangkan di dalam kitab `I`anatu al Talibin ada disebut ttg isu kenduri arwah menurut mazhab as Syafie: “Apa yang telah menjadi kebiasaan manusia, menjemput orang menyediakan hidangan yang makanan oleh keluarga si mati adalah bid`ah yang dibenci, termasuklah di dalam hal ini berkumpul beramai-ramai di rumah keluarga si mati kerana terdapat hadis Sahih dari Jabir bin Abdullah r.a, dia berkata: “Kami menganggap berkumpul beramai-ramai di rumah si mati dan menyiapkan makanan sebagai ratapan..” (Hadis riwayat Ibnu Majjah) Indahnya pandangan mazhab syafie yang asal berbanding dgn pandangan dan pegangan mereka yang mengaku Shafie di Malaysia.
Memadai dgn beberapa contoh di atas yg diketengahkan bukan bertujuan lagi mengeruhkan lagi suasana atau mengelirukan sesiapa. Tetapi sekadar mengingatkan kepada sesetengah pihak agar mengkaji terlebih dahulu perbezaan pendapat yang wujud dikalangan mazhab-mazhab dalam Islam sebelum menuduh seseorang itu terkeluar dari kelompok ASWJ kerana tidak berpegang kepada Mazhab As Syafie.
Walaupun seseorang itu pernah belajar di pondok mahupun lulusan dari Institusi Pengajian Tinggi di Timur Tengah, ia tidak menjamin bahawa ia telah menguasai semua cabang ilmu. Qatadah pernah berkata: “ Barangsiapa yang tidak mengenal ikhtilaf (perbezaan pendapat) maka ia belum mencium fikih (ilmu Fiqah) dgn hidungnya”’ Apabila kefahaman ttg perbezaan pendapat yang ada di dalam Islam ini tidak berada di tahap yang memuaskan, maka pandangan yang sebenarnya berasal daripada Imam As Syafie turut dipolemikan sebagai Wahabi. Jangan nanti pandangan Imam As Syafie terpaksa diketepikan demi untuk menjaga kesinambungan Mazhab Shafie versi Malaysia sebagai satu-satunya mazhab yang boleh diamalkan di negara ini.
Sebagai nasihat kepada semua hayatilah sebuah riwayat daripada Uthman bin Atho` daripada bapanya, dia berkata: “Tidak seharusnya seseorang berfatwa kepada manusia sebelum ia mengenathui ikhtilaf yang terjadi dalam kalangan manusia (ulama) kerana jika ia melakukan hal itu, boleh terjadi dia menolak ilmu yang sebenarnya lebih thiqah (terpecaya) dari ilmu yg dia yakini”. Berlapang dadalah dalam isu-isu yang terdapat perbezaan pendapat dikalangan ASWJ.
Ulasan Taming Sari;
Sebenarnya kita taknak mengkaji. Ditambah rasa ego dan sombong, maka sebab itu golongan agamawan tidak mahu membesar-besarkan hal-hal yang remeh ini.
Taming Sari berpandangan, soal agama tidak mengikut sunnah sepenuhnya bukan perkara yang boleh dianggap remeh. Ia berkait dengan soal keimanan kita kepada Nabi Muhammad saw yang kita sebutkan dalam ucapan syahadah. Sejauhmana kita telah laksanakan arahan nabi?. Kalau sekadar cinta nabi tapi tidak ikut, samalah dengan Abu Talib, jika ikut tapi tidak cinta, samalah dengan Abdullah bin Ubai bin Salul (tokoh munafiq dalam sejarah Islam), Kita dalam kategori mana? Perkara yang kita anggap remeh itu, berkait dengan soal aqidah.
Taming Sari pernah berpengalaman suatu ketika dulu, sebaik sahaja selesai solat magrib, Pak Imam di sebuah masjid menegur Salafi, “kenapa anda kata tahlil tak disuruh oleh nabi?” Sedang kami dibayar RM 100 setiapkali bertahlil arwah di mana-mana rumah dalam Qariah ini. Seminggu lebih kurang 3 kali tahlil, maka kami dapar RM 300 seminggu. Kalau anda kata tahlil takda, habislah sumber pendapatan kami....”
Setelah selesai solat taubat, Taming sari merenung hidup dipenjuru sejadah, Taming Sari mula memahami apakah sebab golongan agamawan yang `berkepentingan` gunakan istilah Wahabi kepada golongan yang benar-benar mengikut sunnah Nabi saw. Sebahagian mereka mencari makan dengan menjaja agama yang bukan agama. Sedangkan Nabi saw, Abu Bakar As Siddiq, Umar Ibnil Khottob, mereka menjual dunia untuk agama.
Silalah buat kajian. Bukalah kitab al Umm, biar kita temui sumber asal fatwa Imam As Syafie. Fatwa paling `selekeh`, apabila Imam Syafie menyatakan bahawa pahala bacaan al Quran yang dibaca oleh orang hidup kepada orang yang telah mati, tidak akan sampai kepada simati......Cuba kita fikirkan. Kalau bacaan Quran pun tak sampai kepada si mati, macamana dengan tahli, sampai ke? Jadi siapa yang tidak membuat acara tahlil arwah adalah sebenarnya mengikut mazhab as Syafie. Orang yang buat tahli itulah yang engkar fatwa As Syafie, dan terkeluar dari mazhab As Syafie. Tetapi suasana di Malaysia sangat berbeza......iaitu siapa yang tidak buat tahlil, maka ia sesat, terkeluar dari Mazhab As Syafie, bahkan ia terkeluar dari ASWJ. Aneh bin ajaib.
Taming Sari bukan bermaksud nak membantah ulama, Tok Mufti, Tuan Qadhi......jauh sekali. Taming Sari pun memang tekong Yasin, Tahlil dan talqin sejak dulu sampai sekarang. Cuma TS bimbang, sampai bila kita nak jadi golongan MUBTADI` (golongan yang mempertahankan bid`ah)?. Hal-hal yang dianggap remeh ini dibahas oleh sekian banyak para ulama. Dan semua ini bukan dianggap ijma` ulama. Sepatutnya hal-hal yang tidak dianggap ijma` ini, maka bebaskan masyarakat untuk memilih samada nak buat atau tinggalkan. Jika kita memaksa masyarakat islam melaksanakan suatu perkara `remeh` yang ada perbahasan ulama, semua mesti ikut satu mazhab sahaja, kita larang umat bertalfiq, maka sebenarnya kita bersikap zolim, membunuh daya nalar manusia, tidak membenarkan manusia keluar dari kepompong taklid buta, bahkan kita berlaku zolim kerana mendominasi pemikiran ummah supaya taksub/ekstrim hanya kepada satu orang atau satu pendapat, taksub kepada satu kelompok sahaja. Sedangkan kita tahu...islam melarang sebarang bentuk ketaksuban kepada kelompok tertentu, individu tertentu atau pendapat tertentu. Sedangkan masih ada ruang untuk berijtihad dan berbahas secara positif. Islam memuliakan insan kerana anugerah akal pikiran.
Kita paksa orang islam buat tahlil, talqin, wirid dan lainnya. Siapa yang tidak buat maka ditindak atas kuasa enekmen. Atau paling tidak menghukum mereka, mencaci sebagai fahaman Wahabi. Inilah sikap mendominasi, yang akhirnya akan mewujudkan suasana taklid buta dan taksub melulu, bukan lagi memperjuangkan kebenaran yang termaktub dalam Quran dan sunnah. Sebahagian mereka hanya berpandukan kepada ijma` dan Qias semata, sedangkan jawapan agama masih terdapat dalam Sunnah nabi saw.
Taming Sari berpandangan, apabila manusia tidak mengamalkan sunnah, maka bid`ah akan menggantikan tempatnya (bid`ah adalah lawan kepada as Sunnah). Tetapi dengan munculnya kelompok-kelompok yang suka `mengkreditkan` amalan sunnah sebagai bid`ah maka orang islam rata-rata takut nak guna perkataan BID`AH itu, sedangkan rasulullah saw adalah manusia yang mempopulerkan istilah BID`AH itu, supaya sunnah itu menjadi hidup dengan subur dalam kehidupan umat islam. Apabila sunnah yang dikerjakan itu bukan lagi sunnah (nampak mcm sunnah) maka itulah BID`AH. Apabila bid`ah bermaharaja lela, tiada lagi berkat, rahmat dari Allah, maka itu akan mengundang bala bencana bahkan semakin mewabaklah perpecahan sesama manusia.
Wallahu`alam
Taming Sari Morden

2 ulasan:

  1. Salafi, satu paparan yang baik bagi umat Islam Malaysia menilai dan merenungnya demi kebaikan bersama..... teruskan dengan tulisan tuan...

    BalasPadam
  2. Terima kasih Bang Yanggambi.....biarlah segala perbuatan dan kenyataan berdasarkan dalil, nas dan fakta-fakta yang betul demi menegakkan kebenaran. Cukup-cukuplah selama ini kita jadi pak turut....membuta tuli saha.

    BalasPadam

ADUKAN ISU DAN MASALAH ANDA