Sabtu, September 12, 2009

10 SEBAB KENAPA PERLU MAKAN KURMA


10 sebab kenapa perlu makan kurma


“Nak berbuka (puasa) dengan apa ye hari ni?” – pastinya soalan ini seringkali bermain-main di fikiran kita yang berpuasa. Tambahan pula kalau ke bazar Ramadhan, pastinya lebih rambang mata dibuatnya tak tahu nak pilih makanan apa sebagai juadah berbuka… Murtabak ayam? Kebab daging? Ayam percik? Nasi kukus dengan ayam berempah? Atau mungkin sekadar dengan kuih-muih yang pelbagai jenis? Hmm.. mana satu ye nak pilih.. pening juga ya bila terlalu banyak pilihan yang ada…


Segala jenis makanan mulai terlintas di mata dan fikiran, ditambah pula dengan aroma masakan yang semerbak pastinya mencabar keimanan kita yang akhirnya kadangkala membuatkan seseorang itu tewas dengan nafsu makannya sehingga membeli juadah berbuka secara berlebihan.

Tetapi harus diingat, walau apapun juadah berbuka puasa pilihan kita, haruslah dimulakan dengan memakan kurma, walaupun hanya sebiji cuma. Dalam erti kata lainnya, tidak lengkaplah iftar kita walau dengan pelbagai juadah berbuka sekalipun, andai ianya tidak beserta dengan buah kurma walau sebiji cuma, bagi tujuan mendapatkan pahala sunat.

Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi yang bermaksud: Daripada Sulaima bin Amir Adh-Dhabiyyi, sesungguhnya Nabi bersabda, “Apabila seseorang di antara kamu berbuka, hendaklah ia makan kurma. Jika tidak ada kurma, hendaklah ia berbuka dengan air kerana air itu adalah pembersih.”


Kenapa kurma? Mari kita lihat 10 sebab mengapa kita perlu jadikan kurma sebagai juadah utama, sebagaimana dijelaskan oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh, pensyarah USIM:

(1) Kurma adalah buah dari tumbuhan palma yg kaya dgn zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potasium, vitamin A dan C serta niasin.

(2) Dari segi saintifiknya, kurma dikenali sebagai phoenix dactylifera L berkesan mengubati gangguan usus kronik dan mengatasi sembelit.

(3) Penawar mujarab dalam perubatan tradisional untuk mengatasi masalah insomnia, mengurangkan batuk serta pelbagai khasiat lain seperti diceritakan dalam 21 ayat al-Quran yang menyebut mengenai buah kurma.

(4) Mengikut pendapat pakar perubatan, buah kurma kaya dengan unsur zat besi dan kalsium yang sesuai untuk wanita sama ada ketika hamil atau selepas bersalin.

# Hal ini berasaskan wahyu diturunkan Allah SWT kepada ibu Nabi Isa iaitu Saidatuna Maryam binti Imran supaya memakan buah kurma ketika beliau dalam keadaan lemah selepas bersalin.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak. Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan.” (Surah Maryam, ayat 25)

Sabda Rasulullah SAW mengenai hal yang sama iaitu: “Beri makan buah tamar kepada isteri kamu yang hamil dan barang siapa memakan buah tamar itu semasa hamilnya, maka anak yang lahir akan menjadi seorang anak penyabar dan bersopan santun, kerana makanan Siti Maryam ketika melahirkan Nabi Isa adalah buah tamar.”

(5) Unsur zat besi dan kalsium dalam buah kurma adalah unsur paling tinggi bagi membentuk susu ibu. Bagi ibu yang mempunyai masalah kekurangan susu, ia dapat diatasi dengan memakan buah kurma sekaligus menggalakkan pertambahan kandungan susu.

(6) Berperanan dalam pertumbuhan kanak-kanak, pembentukan darah dan sumsum tulang.


(7) Kajian yg dijalankan membuktikan kurma antara makanan paling pantas diproses sebagai bekalan tenaga. Kurma akan segera dibakar dan disalurkan ke bahagian anggota lain dan otak.

(8) Khasiatnya terbukti membantu memanaskan badan, mencergaskan otak dan tubuh badan, mencergaskan minda serta membantu tumbesaran kanak-kanak.

(9) Mengikut kajian Dr Mahmud Nazim Al-Nasimy dlm buku Tempoh Mengandung Dari Segi Perubatan, Fiqhiyah Dan Perundangan, menunjukkan jus kurma dpt menolong mencengkam rahim sewaktu proses kelahiran, memperkukuhkan urat rahim pada bulan terakhir kehamilan dan membantu memudahkan proses kelahiran bayi. Jus kurma juga dpt mengurangkan tumpah darah, menguatkan organ rahim serta berkesan meredakan tekanan darah tinggi.

(10) Ia juga membantu melicinkan perjalanan darah, menghindari barah, merawat buah pinggang, mencuci hati dan membantu mengurangkan pengaliran darah ketika kelahiran.

Lihatlah betapa banyaknya khasiat buah kurma… Ia bukan sahaja begitu baik untuk tubuh badan, malah juga menjadi sumber tenaga sepanjang hari. Alangkah baiknya jika kurma dijadikan makanan rutin dalam hidangan harian kerana manfaatnya yang besar bukan sahaja untuk berbuka puasa, tetapi juga bersahur. Dalam hadis diriwayatkan Ibn Hibban dan Baihaqi yang bermaksud: “Daripada Abu Hurairah, berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sebaik-baik makanan sahur bagi orang mukmin adalah kurma.”


Oleh itu, amalkanlah makan kurma selalu, baik di waktu berbuka, mahupun ketika bersahur. Bukan sahaja beroleh khasiatnya, tetapi juga mendapat pahala mengikut sunnah Nabi junjungan mulia kita. Semoga kita semua beroleh berkat dalam menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan ini... Aamiiin...

ADAB BERBUKA PUASA(MENGIKUT SUNNAH RASULULLAH SAW)

Setelah seharian menahan lapar dan dahaga, pastinya saat berbuka puasa seolah-olah nikmat bagi mereka yang berpuasa. Sebaik sahaja kedengaran azan Maghrib berkumandang, maka bersegeralah orang-orang yang kelaparan dan kehausan ini menjamu juadah yang sudah sedia terhidang di depan mata.

Memang benar, kita disunatkan menyegerakan berbuka puasa. Tetapi berbuka puasa bukan bererti kita perlu “membalas dendam” kerana tidak dpt makan dan minum sepanjang siang harinya, dgn makan sepuas-puasnya hingga kekenyangan, yg akhirnya membuatkan kita lewat dan agak malas untuk menunaikan solat.

Lalu bagaimanakah adab berbuka puasa yang perlu kita amalkan?

Sebagai umat Islam, kita cukup beruntung dan bertuah kerana perjalanan hidup kita ditempuhi dengan berpandukan kepada dua sumber agung sebagai petunjuk jalan kehidupan yang sebenarnya, iaitu melalui Al-Qur’an dan As-Sunnah. Islam merupakan agama yang sempurna. Al-Qur’an sebagai kitab panduan dan bimbingan utama, dan As-Sunnah pula berperanan umpama kamus, yang mana ianya memberi penjelasan dengan lebih spesifik mengenai apa yang terkandung di dalam Al-Qur’an.

Segala aspek dalam kehidupan ini, semuanya dijelaskan dalam Al-Qur’an mahupun As-Sunnah. Ada yang jelas, ada juga yang perlukan tafsiran para ulama’. Begitu juga dengan soal adab berbuka puasa. Puasa merupakan suatu ibadat, dan ianya juga terkandung dalam Rukun Islam. Maka adab-adab berhubung ibadat mestilah merujuk kepada ajaran yang ditunjuk oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW. Dalam erti kata lain, adab-adab yang kita kaitkan dengan ibadah puasa mestilah mempunyai asas yang boleh dipegang, iaitu Al-Qur’an atau As-Sunnah.

Di sini ingin saya kongsikan bersama semua, ilmu yang disampaikan oleh Dr Mohd Asri Zainal Abidin, berkaitan adab-adab berbuka puasa sepertimana yang dinyatakan di dalam Hadith:

(1) Menyegerakan berbuka apabila masuknya waktu (ta’jil al-Iftar).

Daripada Sahl bin Sa`ad bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Hadith ini menerangkan punca kebaikan di dalam agama ialah mengikut sunnah Nabi SAW, iaitu Baginda menyegerakan berbuka puasa. Ini menolak dakwaan ajaran-ajaran karut yang kononnya melewatkan berbuka menambah pahala.

Kata at-Tibi (meninggal 743H): “Barangkali sebab Allah menyukai mereka yang bersegera membuka puasa, ialah kerana apabila seseorang berbuka puasa sebelum solat, membolehkannya menunaikan solat dengan dihadirkan hati. Juga ia menyanggahi ahli bidaah yang berpendapat wajib melewatkannya.” (at-Tibi, Syarh Miskhat al-Masabih, 4/183, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Berut).

(2) Berbuka puasa dengan rutab, atau tamar atau air.

Rutab ialah buah kurma yang telah masak sebelum menjadi tamar kering, ia lembut dan manis. Adapun tamar ialah buah kurma yang sudah kering. (lihat: al-Mu’jam al-Wasit 1/88). Sekarang di negara kita rutab sudah mula dikenali. Ia kurma yang masak dan masih lagi belum kering dan mengecut. Apabila ia mengecut dipanggil tamar.

Daripada Anas katanya: “Bahawa Rasulullah SAW berbuka puasa dengan beberapa biji rutab sebelum bersolat. Sekiranya tiada rutab, maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar, maka Baginda minum beberapa teguk air.” (Riwayat Imam Ahamd dan Tirmizi, katanya hadith ini hasan) Al-Diya al-Maqdisi (meninggal 643H) telah mensahihkan hadith ini. (lihat: al-Ahadith al-Mukhtarah, 4/411 cetakan: Maktabah al-Nahdah al-Hadithah, Mekah).

Inilah tertib yang dilakukan oleh Baginda – pilihan pertama ialah rutab, jika tiada (rutab, maka dipilih) tamar, dan jika tiada (tamar, maka dipilih) air.

Kata al-Mubarakfuri (meninggal 1353H): “Hadith ini menjadi dalil disunatkan berbuka puasa dengan rutab, sekiranya tiada, maka dengan tamar, dan sekiranya tiada, maka dengan air. Adapun pendapat yang menyatakan di Mekah disunatkan didahulukan air zam-zam sebelum tamar, atau mencampurkan tamar dengan air zam-zam adalah ditolak. Ini kerana ia menyanggahi sunnah. Adapun Nabi telah berpuasa (di Mekah) banyak hari pada tahun pembukaan kota Mekah, namun tidak pernah diriwayatkan baginda menyalahi adat kebiasaannya mendahulukan tamar sebelum air.” (al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi, 3/311, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut).

Di samping itu, dakwaan jika tiada tamar, maka dengan buah2an yg lain juga tiada sebarang dalil daripada sunnah Nabi SAW.

(3) Menyegerakan solat Maghrib selepas berbuka dengan tamar atau air, sekiranya makanan belum dihidangkan.

Hadith yg kita nyatakan di atas menunjukkan Baginda Nabi SAW berbuka dengan rutab atau tamar atau air sebelum bersolat Maghrib. Maka kita disunatkan juga mengikuti langkah tersebut, iaitu selepas berbuka dengan rutab/ tamar/ air tadi, lantas terus menunaikan solat. Ini sekiranya makanan belum dihidangkan. Adapun sekiranya makanan telah dihidangkan di depan mata, maka dimakruhkan meninggalkan makanan untuk menunaikan solat. Ini berdasarkan apa yg dinyatakan dalam hadith2 baginda Nabi SAW antaranya:

Daripada Anas bin Malik R.A. : Bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah ia sebelum kamu menunaikan solat Maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah ketika makan malam kamu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Daripada Abdullah bin Umar, Baginda SAW bersabda: “Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jamaah) telah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Riwayat di atas juga menambah:

Bahawa Ibn Umar R.A. apabila dihidangkan untuknya makanan, manakala solat pula sedang didirikan, maka beliau tidak mendatangi solat melainkan hingga beliau selesai makan, sedangkan beliau mendengar bacaan imam. Ini kerana meninggalkan makanan dalam keadaan keinginan yang kuat untuk menjamahnya atau dalam perasaan lapar, boleh menghilangkan khusyuk di dalam solat, disebabkan ingatan terhadap makanan tersebut. Dengan itu para ulama menyatakan dimakruhkan solat setelah makanan terhidang di hadapan mata.

Kata an-Nawawi (meninggal 676H): “Di dalam hadith-hadith tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk.” (An-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 4/208, cetakan: Dar al-Khair, Beirut).

Sebenarnya bukan pada makan malam atau solat Maghrib sahaja kita disunatkan mendahulukan makanan yang dihidang sebelum solat, bahkan sunnah ini meliputi semua solat dan waktu makan kerana dibimbangi menghilangkan khusyuk. Ini sekiranya makanan telah terhidang di depan mata.

Al-Munawi (meninggal 1031H) pula menyebut: “Hadith tersebut menyatakan hendaklah didahulukan makan malam sebelum solat Maghrib. Namun ia juga dipraktikkan pada solat-solat yang lain. Ini kerana punca arahan ini ialah bimbang hilangnya khusyuk.” (al-Munawi, Faidh al-Qadir, 1/295, cetakan: al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, Mesir).

Malangnya ada di kalangan yang kurang faham, lalu mereka menyatakan bahawa kalau azan sudah berkumandang, hidangan dan makanan hendaklah ditinggalkan demi mengutamakan solat jemaah. Inilah kedangkalan meneliti hadith-hadith Nabi SAW, lalu mengandaikan agama dengan emosi sendiri.

Adapun sekiranya makanan belum terhidang atau perasaan keinginan terhadap makanan tiada, maka tidaklah dimakruhkan untuk terus solat. Ini bukanlah bererti kita disuruh mementingkan makanan melebihi solat, sebaliknya tujuan arahan Nabi SAW ini ialah untuk memastikan kesempurnaan solat.

Al-Imam Ibn Hajar al-`Asqalani (meninggal 852H) memetik ungkapan Ibn Jauzi (meninggal 597H): “Ada orang menyangka bahawa mendahulukan makanan sebelum solat adalah bab mendahulukan hak hamba ke atas hak Tuhan. Sebenarnya bukan demikian, tetapi ini adalah menjaga hak Allah agar makhluk masuk ke dalam ibadahnya dengan penuh tumpuan. Sesungguhnya makanan mereka (para sahabat) adalah sedikit dan tidak memutuskan mereka daripada mengikuti solat jemaah.” (Ibn Hajar al-`Asqalani, Fath al-Bari, 2/385, cetakan: dar al-Fikr, Beirut).

(4) Makan dengan kadar yang tidak berlebihan ketika berbuka.

Ini bertepatan dengan firman Allah SWT maksudnya: “Dan makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia tidak suka orang yang berlebih-lebihan.”
(Surah al-`Araf:31).

Di dalam hadith Baginda SAW menyebut: “Anak Adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak dapat, maka satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan.” (Riwayat Tirmizi, katanya: hadith ini hasan sahih. Al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani dalam Fath al-Bari menyatakan hadith ini hasan).

Hadith ini salah difahami oleh sesetengah pihak, lalu mereka menyangka Nabi SAW menyuruh umatnya jika makan, hendaklah satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan. Sebenarnya jika kita teliti hadith ini bukan demikian, pembahagian tersebut ialah had maksimum. Kalau boleh kurang daripada itu. Sebab itu Baginda menyebut jika tidak dapat, maka tidak melebihi pembahagian tadi. Namun yang lebih utama digalakkan sekadar yang dapat memberi tenaga.

(5) Berdoa ketika berbuka.

“Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka.” (Riwayat Ibn Majah, sanadnya pada nilaian hasan dan ke atas. Ishaq bin ‘Abd Allah al-Madani dithiqahkan oleh Abu Zur’ah dan disebut saduq oleh al-Zahabi dalam al-Kasyif ).

Maka kita boleh berdoa dengan apa sahaja doa yang kita hajati. Doa orang berpuasa maqbul disebabkan jiwa yang telah dibersihkan daripada kotoran dosa dan syahwat.

Justeru itu al-Munawi menyebut: “Hadith di atas hanya untuk sesiapa yang telah menunaikan tanggungjawab puasa dengan menjaga lidah, hati dan anggota.” (Faidh al-Qadir, 2/500).

Di sana ada doa yang ditunjukkan oleh Nabi SAW ketika berbuka dan disunatkan kita membacanya:

“Adalah Rasulullah SAW apabila berbuka, Baginda bersabda: Telah hilanglah dahaga, telah basahlah peluh (hilang kekeringan) dan telah tetaplah pahala, insya-Allah.” (Riwayat Abu Daud, sanadnya hasan)

Namun setiap orang yang menunaikan puasa dengan sepenuhnya, hendaklah merebut peluang doa yang maqbul ketika dia berbuka.

(6) Berdoa kepada sesiapa yang menjamu kita berbuka.

Kata Anas R.A. : “Baginda SAW pernah datang kepada (rumah) Saad bin Ubadah. Dia menghidangkan roti dan minyak. Baginda pun makan dan bersabda: Telah berbuka puasa di sisi kamu mereka yang berpuasa, telah makan makanan kamu mereka yang baik dan telah berselawat ke atas kamu para malaikat.” (Riwayat Abu Daud, Diya al-Maqdisi dalam Al-Ahadith al-Mukhtarah menyatakan ia sahih 5/158).

Maka berdoalah kepada mereka yang menjamu kita berbuka puasa. Ini adab yang sangat baik.

Demikianlah senarai adab berbuka puasa yang terkandung di dalam sunnah Nabi SAW. Oleh itu marilah kita sama-sama mengamalkan adab-adab ini, mudah-mudahan ianya menambahkan lagi pahala puasa kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ADUKAN ISU DAN MASALAH ANDA