Jumaat, Julai 24, 2009

PERGINYA SEORANG MUJAHID TULEN


FATHI YAKAN...pergimu tiada gantinya

Catatan Salafi,

Beberapa bulan yang lalu, iaitu pada 13 Jun 2009, kesedihan melanda jiwa apabila membaca pemergian seorang tokoh gerakan Islam terulung, ilmuan serta pemikir Islam yang berjasa. Beliau adalah Dr Fathi Yakan, seorang ilmuan yang amat popular dengan buku beliau "maza ya'ni intimai Ila Islam" (Apakah erti saya menganut Islam).

Salafi masih ingat lagi, ketika masih dibangku menengah agama dulu, `usrah` kami telah menjadikan buku ini sebagai sillibus pengisian awal dari sebuah kebangkitan islam. Dari buku ini lah salafi bermula memahami dan menghayati islam dalam diri, keluarga, masyarakat dan bernegara.

Buku ini terlalu banyak digunakan oleh ahli-ahli gerakan Islam sama ada di peringkat sekolah, universiti dan peringkat nasional. Beliau juga pengarang kepada lebih 30 buah buku dan sebahagiannya diterjemah ke pelbagai bahasa. Beliau juga pernah menjadi ahli parlimen Lubnan atas tiket gerakan parti politik Islam.

Pemergian seseorang adalah satu yang amat pedih khususnya bagi mereka rapat dengannya. Malah ia lebih memberikan rasa sedar bahawa kelak, giliran kita. Tidak pasti bilakah waktu itu, namun ia tetap akan berkunjung.
Kunjungan ‘kematian' kerap datang secara tiba-tiba. Ada yang berpendahuluan terlantar di hospital, dan ada pula yang tidak berpendahuluan (meninggal di tempa kejadian).

TIADA 'PATUNG' DR FATHI

Perlulah diingat bahawa jika kita ingin menghargai jasa dan usaha seseorang tokoh, bukanlah dengan menggantung gambarnya di rumah, memaparkan gambarnya di sana sini. Itu bukanlah cara yang disaran oleh Rasulullah s.a.w, namun cara yang betul adalah dengan menghidupkan usahanya, menyebarluaskan nasihat dan hasil pemikirannya dengan cara yang terbaik.

Jangan pula cuba beralasan mengatakan dengan gambar memberikan inspirasi, kerana jika itu benar lagi tepat, tentunya Nabi s.a.w akan menyuruh para pelukis di zaman itu untuk melukis wajah baginda untuk diedar buat para sahabat dan tabien sebagai ingatan kepada diri baginda dan Islam. Namun itu tidak berlaku, Islam bukan sebuah agama yang membenarkan patung sebagaimana dunia bukan Islam di barat terlalu ‘gila' membuat patung tokoh mereka.

Di London, muzim dipenuhi patung tokoh-tokoh mereka termasuk Darwin, di Paris, ia sebuah bandar yang hodoh dan semak dengan ratusan patung-patung ukiran yang besar, malah lebih hodoh apabila kebanyakkan patung-patung tersebut adalah diukir dalam keadaan berbogel. Itulah PARIS dan demikian juga kebanyakan bandar-bandar bukan Islam yang lain. Justeru, mengharagia hasil Dr Fathi Yakan bukan dengan menggantung gambar dan menekuni ‘patung tugu' Dr Fathi Yakan. Tetapi sebarkanlah hasil usaha beliau selain mendoakannya.

PERGINYA SEORANG PENULIS BLOG

Salafi juga terfikirkan bahawa, dalam dunia berinternet ini, ramai yang mempunyai blog. Lagi popular blog tersebut, lagi hampir tuan punya blog dengan para pengunjungnya. Setiap hari mungkin pengunjungnya inginkan sesuatu yang baru dari tuan punya blog.

Tanpa disedari bahawa tuan punya blog boleh datang dan pergi. Sebagaimana pengunjung turut datang dan pergi. Namun bagi pengunjung setia yang mengenali dan rapat, apabila melihat sebuah blog yang sudah tidak lagi dikemaskini kerana pemergian pemilik blog, tentunya satu perasaan yang amat hiba dan pedih.

Baru-baru ini salafi turut membaca beberapa tuan blog yang kembali ke rahmatullah, meninggalkan keluarga dan blognya terus kaku. Salafi membuka blog mereka dan menatapi beberapa penulisan mereka dan juga gambar-gambar mereka sewaktu hayat dikandung badan, tanpa disedari datang perasaan hiba.
Blog tersebut masih berpengunjung, dipenuhi dengan ucapan takziah buat ahli keluarga, tetapi tuan punya blog sudah tiada di sisi, tiada mampu membaca kata-kata terbaru indah dan doa di blog mereka. Terfikir akan hal itu, perasaan sedih dan hiba sudah tentu melanda jiwa dan hati.

Sebagai contoh, blog milik pelajar perubatan Malaysia, Sdr Ammar Zulkifli yang meninggal akibat kemalangan di Mesir baru-baru ini. Sila
buka (kalam-puncak.blogspot.com)

Juga blog seorang ustaz muda, (Ust Wan Mohd Salimi) yang meninggal dunia dikatakan akibat kesan kemalangan juga, lebih pedih kerana meninggalkan isteri dan tiga orang anak. Blognya
(aisaralex.blogspot.com)


Ucapan takziah buat seluruh ahli keluarga dan di doakan ruh mereka mendapat rahmat dan tergolong dari kalangan individu soleh. Salafi juga, sebenarnya tidak mengenali kedua-dua mereka, hanya mengenali mereka melalui blog mereka sesudah pemergian mereka. Itupun, masih terasa hiba apabila menekuni isi blog mereka.

Tatkala membaca pemergian mereka, meninggalkan buku dan blog mereka yang dipenuhi nasihat berguna sebagai amal jariah berterusan. Benar, satu-satunya yang akan mengikutinya ke alam seterusnya. Saya tidak dapat lari memikirkan dengan diri sendiri.

Nabi s.a.w amat menggalakkan kita untuk menziarahi kubur dengan sasaran untuk lebih mengingati kematian. Bagi mereka yang tidak berpeluang untuk menziarahi kuburnya, ziarahilah blognya dan berdoalah serta ingatlah akan kematian itu pasti. Kematian itu menuntut PERSEDIAAN. Persediaan menuntut kepada ILMU, ilmu menuntut kepada AMAL, dan amal menuntut KEIKHLASAN.
Bagaimanakah nanti blog salafi di ketika hari kematian...masanya belum diketahui namun ia adalah sebuah pemergian yang pasti pada masa yang akan datang. Sama-samalah kita berusaha dan bersedia, kerana ia adalah satu pemergian yang tiada peluang ulangan. Hidup adalah sebuah exam yang gagalnya tiada ruang untuk mengulang. Nauzubillah.

"Ya Allah matikan daku dalam keadaan penghujung penuh kebaikan dan janganlah matikan kami dengan keadaan penghujung yang buruk”

Catatan Salafi Abu Zulfiqar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ADUKAN ISU DAN MASALAH ANDA