Khamis, Mei 28, 2009

POLITIK SATU IBADAH.....?


Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Saudara-saudari,

Berbagai pandangan yang boleh Salafi perolehi, apabila bertanya kepada orang ramai mengenai POLITIK. Ada yang mengatakan politik itu kotor, oleh itu politik haruslah dipisahkan dari agama. Jangan campuradukkankan agama dengan politik, sebab politik itu sendiri mengamalkan kerja-kerja kotor.

Salafi berpandangan, pendapat seperti ini sangat merbahaya, dan boleh menjerumuskan seseorang ke lembah kehancuran. Pandangan seperti itu adalah pandangan sekuler yang memisahkan urusan dunia dengan urusan agama. Jika politik dipisahkan dari agama, maka sudah tentu politik akan mengabaikan sudut moral dan pembentukan insan yang sempurna.

Apabila ahli politik berfahaman seperti ini, maka ia bebas untuk melakukan apa sahaja walaupun amalan berpolitik yang dilaksanakannya nyata-nyata bertentangan malah mengenepikan moral dan budaya insan bertamadun.

Jadi, sebenarnya politik itu bersih, suci, Cuma manusia sendiri yang mengotorkannya. Ibarat persepsi seseorang mengenai `tandas`. Sejak dibangku sekolah lagi kita ditanam dalam benak kita bahawa `tandas itu suatu tempat yang kotor dan jijik`. Tiap-tiap hari nak masuk tandas, mesti tutup hidung. Sehingga tertanam dalam benak kita selama-lamanya bahawa tandas itu suatu tempat yg kotor dan jijik. Sedangkan di negara-negara Eropah, tandas mereka sangat bersih, macam bilik tidur, bersih dan wangi.

Mari kita jadikan politik itu sebagai satu ibadah, politik sebagai suatu jihad dan termasuk amal-amal soleh semasa kita masih hidup di dunia ini. Amin,tetapi sebelum itu mari kita ambil tahu, bilakah politik itu menjadi ibadah kpd Allah swt:

Sebelum itu, kita mesti tahu terlebih dahulu apa makna ibadah itu?

Bahasa:
patuh, taat, tunduk, menyembah, menghina, merendah, memperhambakan diri kepada seseorang/sesuatu.

Imam Maududi:
patuh, taat, tunduk kepada ketinggian dan kekuasaan seseorang, lalu diserahkan kepadanya segala kebebasan dan kemerdekaan dirinya, ditinggalkan segala penentangan dan kedurhakaan terhadapnya, malah ia terus mengikut telunjuk dan segala perintahnya.

Imam Mohammad Abduh:
Ibadah, adalah sejenis ketundukan yang sampai kepada kemuncaknya dan ianya lahir dari perasaan hati terhadap kebesaran dan keagungan serta percaya ada orang yang dihadapkan ibadat itu kepadanya tanpa diketahui puncanya baginya kuasa luar-biasa yang sukar difahami hakikatnya.


Ibnu Taimiyyah:
Disamping pengertian asal ibadat juga membawa erti yang amat penting-bukan sahaja dalam Islam malah dalam semua agama iaitu unsur kasih dan cinta, yang mana tanpa unsur itu, tujuan ibadat sebagaimana yg diperintahkan Allah swt tidak akan berhasil.

Katanya: “Ibadat asal maknanya kehinaan, tetapi ibadat yg diperintahkan Allah atau yg disyarakkan ke atas manusia merangkumi makna KEHINAAN dan KECINTAAN bersama, iaitu kemuncak kehinaan diri seseorang bila berhadapan dgn Allah dan kemuncak kecintaan kepada Allah swt”
Kesimpulan:

Berdasarkan pengertian tersebut, ibadat mestilah merangkumi dua faktor penting:

1. Tindakan menurut, mengikut dan mengikat diri dengan segala perkara yg disyarakkan Allah.

2. Pengikatan diri mematuhi segala yg disyarakkan Allah itu hendaklah lahir dari hati yg kasih dan cinta kepada Allah, yang mana tidak ada sesuatu dalam wujud ini yang lebih layak dikasihi dan lebih wajar ditaati selain dr Allah.

RUANG LINGKUP IBADAH

Ibnu Taimiyyah
Melalui bukunya UBUDIYYAH: Ibadat ialah nama yang menggabungkan setiap perkara yang disukai dan diredhoi Allah, samada dari jenis perkataan atau perbuatan, batin atau lahir seperti

§ sembahyang
§ zakat
§ haji,
§ bercakap benar,
§ amanah,
§ taat setia kepada ibubapa,
§ menghubungkan silaturrahim,
§ menepati janji,
§ menyeru kepada kebaikan,
§ mencegah kejahatan,
§ berjihad menentang orang-orang kafir dan munafik, berbuat baik kepada jiran tetangga,
§ bersimpati kepada anak yatim,
§ bersimpati kepada orang miskin,
§ kepada org yg putus bekalan dalam perjalanan,
§ kepada hamba abdi,
§ binatang-binatang pemeliharaan,
§ doa,
§ zikir,
§ baca Quran,
§ Cinta kepada Allah, cintakan rasulNya
§ takut kepada Allah, merujuk kepada Allah
§ Besyukur diatas segala nikmatnya
§ redho dgn Qodho` dan Qadarnya, berserah kepada Allah selepas berusaha serta harapkan rahmatNya.
§ ikhlas dlm melaksanakan ajaran agama
§ bersabar menerima hokum Allah
§ takutkan azab-siksaNya
semuanya adalah sebahagian daripada ibadat.

Oleh itu ibadah mempunyai skop dan daerah yg luas. Ia meliputi semua jenis amalan fardhu dan syiar Islam yang wajib (solat,puasa,zakat,haji) serta perkara-perkara sunat yang menjadi tambahan kepada ibadat2 yg wajib (zikir, doa, istighfar, tasbih, tahlil, takbir, tahmid)

Ia juga meliputi budi bahasa, kira bicara, menunaikan hak orang termasuklah taat setia kepada kedua ibubapa, silaturrahim, bertimbang rasa kepada golongan lemah, belas kasihan terhadap binatang.

POLITIK ALAT AGAMA

“Khilafah atau pemerintahan memastikan manusia seluruhnya mematuhi ajaran agama bagi mencapai kepentingan akhirat dan kepentingan dunia yang berasaskan akhirat, kerana semua kepentingan dunia disisi agama terletak di atas kepentingan akhirat. Justeru itu khilafah adalah merupakan pemerintahan bagi pihak Allah untuk menjaga kepentingan agama dan menjaga kepentingan dunia dengannya…”[1]

“Dunia adalah ladang akhirat. Tidak sempurna agama tanpa dunia. Pemerintahan dan agama adalah dua serangkai. Agama adalah asas, manakala pemerintahan adalah penjaganya. Akan rosaklah sesuatu yang tidak ada asas dan akan hilanglah sesuatu yang tidak ada penjaganya dan tidak sempurna tanpa pemerintahan”.[2]

POLITIK SATU TUGAS AGAMA

Menurut Prof.Dr Yusof alQardhowi
“Pada pandangan saya adalah wajib ke atas orang agama agar tidak membiarkan urusan politik terlepas ke tangan golongan sekuler, komunis dan lain-lain golongan yang merosakkan Islam atau yang jahil mengenai Islam atau golongan yang memusuhi Islam atau golongan yang tidak mementingkan Islam.

Umat Islam tidak akan Berjaya bersaing dengan bangsa-bangsa lain di dunia dalam membangunkan tamadun dunia tanpa penyertaan seluruh warga Islam mengendalikan pentadbiran negara dan berkecimpung dalam politik, dengan tidak membiarkan urusan pentadbiran negara berada ditangan golongan yang tidak bertanggungjawab, mempermainkan nasib umat islam bagi memenuhi hawanafsu mereka.

Disebabkan ini semua….maka adalah HARAM bagi setiap orang islam memencilkan diri dalam masjid, dengan membiarkan umat islam menderita menghadapi berbagai ancaman kemusnahan, sedang ia asyik dgn wiridnya di dalam masjid tanpa memperdulikan apa yg berlaku disekelilingnya.

Apabila politik dianggap satu tanggungjawab, maka setiap orang yg cintakan Islam, kuat iman, tidak akan melarikan diri daripa politik. Islam tidak akan benarkan orang-orang Islam berada di dalam rumah-rumah mereka dgn membiarkan iblis-iblis melakukan kerosakkan di dalam negara, menindas umat islam dengan berbagai perancangan jahat, sedang ia asyik dgn tahlil, tasbih, zikir dan munajat di dalam bilik. Islam mewajibkan ke atas umat Islam memberi perhatian kepada politik sebagaimana juga kewajipan-kewajipan lain dalam agama; sembahyang, puasa, zakat, haji dan lain-lain. Politik dianggap jihad untuk mempertahankan Islam
…”[3]


BILAKAH POLITIK BERTARAF JIHAD?

Apabila politik bertaraf jihad, maka setiap nafas, setiap gerak-geri, setiap perancangan, setiap golongan, setiap sumbangan harta-benda, tenaga dan pikiran dalam politik adalah dinilai sebagai ibadat dan amal soleh yang akan diberikan ganjaran yang sewajarnya, sebagaimana penegasan Allah dalam alQuran:

“…..Yang demikian adalah kerana sesungguhnya (tiap-tiap kali) mereka merasai penat lelah dan merasa lapar (dalam perjuangan) pada jalan Allah dan (tiap-tiap kali) mereka menjejak ditempat yang menimbulkan kemarahan org-org kafir dan juga (tiap-tiap kali) mereka menderita sesuatu yang mencederakan dari pihak musuh, melainkan semuanya itu ditulis bagi mereka (pahala) amal soleh.

Sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang yg berusaha memperbaiki amalannya. Dan tidak pula mereka membelanjakan sesuatu yang kecil atau yang besar dan tidak mereka melintas di suatu lembah, melainkan ditulis (pahala) bagi mereka; supaya Allah membalas dengan (balasan) yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan
…”[4]

Apabila politik bertaraf jihad, maka semua kerja-kerja politik dikira lebih tinggi nilainya dari ibadat khusus.

Suatu riwayat yang menerangkan bahawa Rasulullah saw telah melarang orang yang hendak meninggalkan jihad untuk beribadat, sabdanya:”…..jangan kamu lakukan, sesungguhnya kerja-kerja berjihad di jalan Allah, adalah lebih utama daripada sembahyang di rumah selama 70 tahun…”

BAGAIMANA MENJADIKAN POLITIK BERTARAF IBADAT

Dengan niat yg ikhlas untuk mencapai keredhoaan Allah semata-mata. Berpolitik sebagai suatu sumbangan untuk menegakkan pemerintahan secara Islam. Bagi mencapai status atau maqam ini, maka perlu ada beberapa perkara:

1. Perlulah menganggap semua jawatan dalam politik adalah amanah, bukan anugerah, sebagai beban bukan hadiah. Rasulullah saw bersabda: “Sesungguhnya jawatan itu adalah suatu amanah, sesungguhnya ia adalah suatu kehinaan di hari Qiamat, kecuali orang yang mengambilnya bersama-sama dengan hak dan tanggungjawabnya serta menunaikan segala hak-haknya”. Dan sikap ini akan melahirkan:

a. Perasaan tidak sombong dan lupa diri bila dilantik atau dipilih memegang sesuatu jawatan.

b. Perasaan tidak kecewa dan hampa bila kehilangan sesuatu jawatan atau tidak dipilih atau kalah dalam pertandingan
c. Perasaan kesungguhan dan kegigihan menjalankan tugas yang dibebankan

d. Perasaan takut menyalahgunakan jawatan untuk kepentingan diri sendiri.

2. Melalui pendekatan yang halal

Pendekatannya mestilah bersih dan halal, iaitu dengan memakai kaedah “Matlamat tidak menghalalkan cara”. Inilah kaedah politik Islam. Konsep dan kaedah ini mengharamkan segala bentuk penyelewengan, penipuan fitnah, putarbelit, penganaiyaan dan mainan politik yang kotor dan menjijikkan. Antara amalan politik yang sangat-sangat dipandang keji oleh Islam ialah perbuatan, amalan memberi dan menerima rasuah dan sogokan. Sabda Rasululah saw: “Allah melaknat pemberi dan penerima rasuah..”

3. Menjaga prinsip-prinsip kepimpinan Islam

a. Kasih sayang dan bertimbangrasa terhadap anak buah dengan mengutamakan kepentingan mereka dari lain-lain kepentingan. Sikap ini telah dijelaskan Allah swt dlm al Quran:

“…..Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang rasul dari kalangan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad saw) yang menjadi sangat keberatan kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat inginkan kebaikan bagi kamu dan ia pula menumpukan perasaan belas serta kasih saying kepada orang yang beriman..” (At Taubah:128)

b. Tidak sombong dan sentiasa merendahkan diri. Sikap ini melahirkan kasih sayang dikalangan ahli dan perpaduan dalaman yang kukuh.


Saiyyidina Abu Bakar As Siddiq menegaskan:
“……..Sesungguhnya aku dilantik, tetapi aku bukanlah orang yang paling baik dari kalangan kamu..”

Saiyyidina Omar bin alKhottob:
“…..Sesiapa dari kamu yang melihat sesuatu kesilapanku, maka hendaklah ia betulkan kesilapan itu..”

Saiyyidana Ali:
“…….Wahai orang ramai sesungguhnya aku adalah salah seorang dari kamu, hak dan tanggungjawabku adalah sama dengan hak dan tanggungjawab kamu…”

Tetapi tidak seperti iblis, secara sombong mendabik dada:

“Aku lebih baik darinya, engkau jadikan aku dari api, sedang dia engkau jadikan dari tanah”

4. Jujur dalam kepimpinan

Sikap ini amat penting dalam politik islam. Tanpa kejujuran dan amanah sesuatu program akan sia-sia. Allah taala berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan mengkhianati RasulNya dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedangkan kamu mengetahui…” (AlAnfal: 22)


Sampai disini dulu perbahasan mengenai politik itu suatu ibadah, dan satu jihad. Semoga kita semakin matang dalam berpolitik, dan segala kerja-kerja politik menjadi ibadah dan merupakan jihad yang bernilai tinggi di sisi Allah swt

Wassalam

Salafi Abu Amri Zulfiqar



[1] Ibnu Khaldun dalam kitabnya MUQADDIMAH.
[2] Imam al Ghazali dalam Ihya Ulumuddin
[3] Prof.Dr Yusof alQardhowi di dalam HAULA QADHAYAL ISLAM
[4] At Taubah ayat 20-21

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ADUKAN ISU DAN MASALAH ANDA